Home Berita PAS Sabah

Ziarah Mesra sempena Tahun Baharu Cina erat hubungan dan keharmonian

20
SHARE

Oleh : Asrul Samat
14 Feb 2024

BEAUFORT: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Biro Perpaduan Nasional PAS Kawasan Beaufort telah melaksanakan program Ziarah Mesra bagi mengeratkan hubungan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk khususnya di daerah itu baru-baru ini.

Program yang diadakan di sekitar kawasan perumahan Taman Intisubur Beaufort itu dihadiri oleh Yang Dipertua PAS Kawasan, Syahrazan Noh bersama barisan ahli jawatankuasa kerjanya disambut baik oleh masyarakat setempat.

Masyarakat Tiong Hua yang diziarahi, beramah mesra bersama keluarga dalam suasana yang ceria dan harmoni.

Syahrazan berkata, program Ziarah Mesra sempena Tahun Baharu Cina merupakan aktiviti tahunan yang telah dilaksanakan oleh PAS Kawasan Beaufort, bagi memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan dalam sebuah komuniti yang berbilang kaum, agama dan budaya.

“PAS Kawasan melalui Biro Perpaduan Nasional akan terus komited bagi meningkatkan persefahaman dan mengeratkan keharmonian dalam masyarakat majmuk khasnya di Beaufort.

“Kami telah merangka beberapa lagi program yang bersesuaian untuk dilaksanakan, sekaligus menyampaikan mesej bahawa saling memahami, kenal-mengenali dan mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain walaupun berbeza agama dan bangsa ini merupakan salah satu daripada perkara yang sangat dianjurkan oleh Islam,” katanya selepas ziarah.