Oleh Ramizah Rahmad
BATU, 10 OKT: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Kawasan Batu mengambil kesempatan bersempena cuti umum Maulidur Rasul untuk turun padang bagi menziarahi penduduk setempat, di Blok 27, Bandar Baru Sentul.
Skuad LKK DMPKB telah menziarahi Puan Zarinah yang menghidap penyakit stroke sejak 2 tahun lalu. Sepanjang tempoh ini beliau diuruskan dan dijaga rapi oleh Suami beliau, En Radzuan.
Suami beliau menceritakan perihal penyakit stroke isterinya ini, dihidapi semasa masih bekerja dengan Jabatan Pendidikan lagi.
En. Radzuan yang masih lagi bekerja, terpaksa membahagikan masa antara kerja dan tanggungjawab menjaga isteri yang sakit bagi memastikan kebajikan isteri tidak terabai.
Ziarah Mahabbah ini merupakan program yang sering dijalankan oleh pihak LKK DMPKB, sebagai satu alternatif membantu golongan yang memerlukan disamping dapat menaut ukhuwwah.
Pihak LKK DMPKB telah menyampaikan sumbangan berupa sebuah kerusi roda, lampin pakai buang, susu, barangan dapur dan lain-lain kepada En Radzuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh beliau sekeluarga.
Ziarah turut disertai oleh En. Shamsuddin Yaacob, TYDP kawasan Batu, wakil LKK, Ketua Jawatankuasa Muslimat cawangan dan 2 orang AJK lain.