Oleh: Siti Aisyah Abdullah
18 Oktober 2022
PUTATAN: PAS Kawasan Putatan menerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan meneruskan program Ziarah Kasih MOSWAY (miskin, orang kurang upaya, sakit, warga emas, ‘armalah’ dan anak yatim) di Kampung Tebongon Putatan yang bertujuan menziarahi penduduk mangsa banjir.
Ziarah Kasih MOSWAY pada kali ini dihadiri oleh Ketua Lajnah kebajikan dan kemasyarakatan PAS Putatan, Noorsheela Binti Shamsudin.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Putatan, Amir Fadhli Razali turut hadir dan membantu menyerahkan sumbangan kepada mangsa.
Sumbangan berupa beras 5 kilogram telah berjaya diberikan terus kepada 57 keluarga mangsa banjir dan sumbangan terus diagihkan ke rumah-rumah mangsa.
Amir Fadhli berkata, pihak mereka dimaklumkan bahawa banjir kali ini antara yang terteruk sehingga mencapai paras bahaya dan kesemua mangsa mengeluh bebanan yang ditanggung akibat kerosakan harta benda.
“Agihan sumbangan kepada setiap ketua isi rumah (KIR) berupa bahan keperluan mudah-mudahan dapat meringankan beban mangsa banjir yang terjejas kerana inilah tugas PAS yang sentiasa ingin memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diutamakan” ujar Ketua Penerangan, Zulzaim Hilmee Abidin yang turut sama menjayakan Ziarah Kasih MOSWAY itu.
Seorang penduduk yang sempat ditemubual, Amran Hassan berkata, beliau amat berharap selepas Pilihan Raya Umum (PRU-15), akan ada pemimpin yang akan mengambil berat tentang masalah yang berlaku di kampungnya.
“Saya juga berharap akan ada parti yang memimpin kampung ini mengikut ajaran Islam seperti PAS,” tambah Amran Hassan.