Home Berita PAS Terengganu

Zawawi juara urutan Asia Tenggara

22
SHARE

KEMAMAN – Terengganu terus mencipta nama di persada dunia apabila mengharumkan nama negara (Malaysia) setelah berjaya memenangi gelaran SouthEast Asia Massage Championship 2025.

Zawawi  Abdullah, 41, berkata dia tidak menjangkakan kemenangan tersebut dan berasa sangat teruja apabila diumumkan sebagai pemenang.

Katanya, pertandingan itu melibatkan lebih 150 peserta (lelaki dan perempuan) daripada 11 buah negara termasuk Thailand, Singapura, Taiwan, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Laos, Brunei, Cambodia dan Philippines.

“Syukur Alhamdulillah, pada awalnya saya hanya menyasarkan tempat dalam kalangan 20 terbaik namun tidak menyangka rezeki memihak kepada saya ketika itu.

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini terutamanya ibu, adik beradik, kawan-kawan, guru-guru dan bekas-bekas pelajar saya,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui.

Tambahnya, semua peserta adalah pemenang dan dalam urutan tiada siapa yang paling hebat kerana yang menilai adalah pelanggan itu sendiri.

“Jika pelanggan itu selesa dengan kita, maka kitalah yang terbaik bagi mereka. Kita juga adalah pemenang jika kita memanfaatkan kemahiran ini dengan sebaiknya,” ujarnya.

Zawawi yang sebelum itu memenangi tempat pertama dalam kategori Spa & Wellness Massage kemudian bersaing di peringkat seterusnya bersama pemenang-pemenang kategori lain bagi merebut gelaran juara keseluruhan SouthEast Massage Championship 2025.

Kejohanan tersebut telah diadakan pada 24-26 Januari lalu dan berlangsung di Movenpick Hotel, Sepang.

Katanya lagi, dia berharap suatu hari nanti dapat membuka sebuah akademi urutan di negeri Terengganu ini.

“Macam saya sendiri ketika ingin belajar dulu, harga kelas urutan kebiasaanya agak mahal dan juga biasanya kelas-kelas ini di luar negeri Terengganu.

“Jadi ianya akan melibatkan yuran, penginapan, pengangkutan, makan minum dan lain-lain yang menyebabkan kos keseluruhan menjadi sangat tinggi.

“Oleh yang demikian, saya berharap dapat membuka satu akademi urutan bagi memudahkan kepada mereka yang berminat untuk mendalami bidang urutan ini,” ujarnya.

Zawawi mula meminati bidang urutan sejak berusia lapan tahun apabila mewarisi minat ini daripada arwah datuknya.

Dia mula menjadikan minat tersebut sebagai kerja sampingan sejak tahun 2005 dan telah berkecimpung sepenuh masa sebagai kerjayanya pada tahun 2016.

Beliau telah menerima pengiktirafan dalam bidang ini selepas menyertai beberapa akademi seperti Avicenna Academy Malaysia di Kajang, Selangor dan Malaysia Institute of TVET Educators (MITE) di Cyberjaya, Selangor.

Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat urutannya boleh hubungi di talian 017-7606097 atau boleh terus ke AZ Massage Treatment yang beralamat di 3034 Jalan Senangin Kampung Geliga, 24000 Kemaman, Terengganu.

Kebiasaannya, harga urutan bermula serendah RM30 sehingga RM250 mengikut kepada tempoh masa dan jenis urutan yang diinginkan oleh pelanggan.