KUALA NERUS – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menolak kenyataan yang dilontarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada program yang berlangsung di Kemaman baru-baru ini.
Dalam program itu, Zahid mendakwa bantuan yang diberikan oleh kerajaan Persekutuan tidak diagihkan dengan tepat oleh Kerajaan Negeri.
Ahmad Samsuri menjawab mana-mana peruntukan yang diberikan telah diagihkan kepada mereka yang berkenaan.
“Begitu juga berkaitan peruntukan yang dijanjikan oleh kerajaan negeri telah kami sampaikan kepada mereka dengan betul,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Loji Rawatan Air bertempat di Bukit Berapit, Kuala Nerus di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh.
Tambah Ahmad Samsuri, beliau tidak faham kenapa kenyataan sedemikian dilontarkan tanpa meneliti fakta terlebih dahulu.
“Saya yakin kenyataan itu tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap pimpinan kerajaan negeri.
“Rakyat Terengganu lebih celik dalam memperolehi maklumat yang tepat pada waktu sekarang berbanding dahulu,” ujarnya.