Home Berita PAS Terengganu

YPU tawar peluang bantu pengusaha vape beralih angin

24
SHARE

KEMAMAN – Bagi menyokong usaha kerajaan negeri mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape secara terbuka, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) menawarkan peluang kepada pengusaha-pengusaha vape yang ingin beralih mengusahakan perniagaan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Afnida Aini Alwi berkata, yayasan tersebut sebagai badan yang membantu usahawan ada menyediakan pelbagai kemudahan bagi menyokong usaha mereka ‘beralih angin’.

“Jadi, kepada pengusaha vape yang berminat, kita minta mereka kalau boleh daftar dahulu sebagai ahli YPU, dari situ kita akan salurkan informasi dan mereka boleh hadir mengikuti kursus berkaitan.

“Kita ada menyediakan kemudahan pinjaman tanpa faedah. Tempohnya juga agak lama dan kita sediakan antara RM7,000 hingga RM50,000 bergantung kepada jenis dan saiz perniagaan.

“Walaubagaimanapun, kalau mereka memerlukan pinjaman yang lebih besar, kita akan membantu menyalurkan mereka membuat pinjaman dengan agensi-agensi lain yang menyediakan kemudahan sama dengan nilai lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir dalam program Sembang Usahawan di Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), semalam.

Majlis yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Dato’ Ariffin Deraman itu dihadiri lebih 100 usahawan daerah Kemaman dan melibatkan komunikasi dua hala bersama sekitar 16 agensi negeri dan persekutuan.

Afnida menjelaskan, YPU turut diperkasakan dengan jawatankuasa dinamakan Urus Setia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) yang melibatkan kira-kira 40 agensi keusahawanan di dalamnya yang boleh dimanfaatkan bagi membantu usahawan negeri itu.

“Sebab itu kita minta mereka datang ke YPU dan menyertai kursus yang ditawarkan, supaya mereka nampak ke arah mana untuk ubah perniagaan sama ada industri makanan dan minuman atau pakaian dan sebagainya.

“(Tawaran) ini terbuka kepada semua usahawan, janji rakyat Terengganu dan lebih baik yang berdaftar sebagai ahli YPU,” jelasnya.