Home Berita PAS Terengganu

YPU, Platform E-Dagang terkemuka jalin kerjasama bantu usahawan muda

13
SHARE

KUALA TERENGGANU – Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), TAJDID dan TD1303 akan mengadakan kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka bagi mengembangkan perniagaan usahawan tempatan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah tersebut akan meningkatkan kapasiti dan mempercepatkan peralihan Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) ke arah pendigitalan.

Katanya, ia juga bagi menyokong para usahawan dengan kemahiran menjalankan perniagaan dan pemasaran serta mengaplikasi sistem kewangan digital.

“YPU akan kembali melaksanakan Program Usahawan Belia Sejahtera (UBES) dengan kerjasama institusi kewangan dalam negara untuk menyokong golongan belia menceburi bidang keusahawanan melalui penyediaan latihan, geran dan bimbingan yang berterusan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Dalam itu katanya, menerusi kerjasama dengan pelbagai entiti kerajaan, pemain industri dan pusat latihan pula, THRDC akan membangunkan portal Terengganu Talent bagi mempromosikan bakat tempatan kepada bakal majikan dan Galeri Kerjaya Digital yang berkonsepkan interaktif.

“Ia bagi membantu para pelajar dan golongan belia memahami laluan kerjaya dalam pelbagai bidang yang diminati sesuai dengan kelayakan masing-masing,” ujarnya.