Home Berita PAS Terengganu

YDP Baharu Tekad Galas Amanah Dengan Penuh Tanggungjawab

7
SHARE

Oleh : RR

SETIU – Yang Dipertua (YDP) baharu PAS Kawasan Setiu menzahirkan tekad dan keinsafan dalam menggalas amanah kepimpinan yang diberikan oleh para perwakilan, dengan berpegang kepada prinsip keimanan dan tanggungjawab terhadap perjuangan Islam.

Ustaz Zul Bhari bin Abdul Rahman berkata, beliau menyifatkan jawatan disandang bukanlah suatu kemuliaan, sebaliknya satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan kebergantungan kepada Allah SWT.

“Ia bukan sekadar jawatan, tetapi satu amanah iman dan keyakinan kepada ‘Khaliq’, bagi menjaga, melancar dan mencapai matlamat jamaah serta organisasi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu, di Dewan Sungai Tarom, bandar Permaisuri, pada sabtu.

Ustaz Zul Bhari turut menyatakan penghargaan terhadap suara perwakilan dan ahli cawangan yang memberi kepercayaan kepada kepimpinan baharu, dan menyeru seluruh jemaah agar terus memberikan sokongan, tunjuk ajar serta doa agar organisasi dapat digerakkan dengan lebih tersusun.

“Kalau kita naik kereta dan rasa mudah bila ada co-pilot, kadang perlu tukar pemandu di RnR. Perjalanan kita jauh, jadi perlu sama-sama bantu agar sampai ke destinasi,” ujarnya.

Beliau juga menyambut baik tujuh perincian penting yang dibangkitkan oleh Dewan Muslimat dalam sesi penangguhan mesyuarat, dan menyifatkannya sebagai “modal dan bekalan” penting untuk menyusun hala tuju gerak kerja organisasi.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua agar terus memperkukuh ukhuwah dalam jemaah demi mengangkat syiar Islam di peringkat kawasan dan negeri.

“Saya sangat mengharapkan sokongan dan bantuan semua sahabat. Kita menuju Allah SWT, semoga sentiasa dalam rahmatNya,” tambah beliau.


Sementara itu, YB Ustaz Shaharizukirnain bin Abd Kadir yang dahulunya menjadi ketua selama 12 tahun kini menjawat jawatan Naib Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu.

Katanya, setiap kepimpinan ada masanya, dan kini tiba giliran untuk memberi laluan kepada tenaga baharu yang lebih segar dan bertenaga dalam mendepani cabaran semasa.

“Daripada bas ekspres terbabas, kita tahu bila masa perlu tukar driver. Kalau laju sangat pun bahaya, kalau terlalu perlahan pun tak bergerak. Kita perlu kepimpinan yang seimbang, yang boleh bawa jemaah ke depan dengan baik,” ujar beliau bersahaja tetapi penuh makna.

Beliau turut mengibaratkan dirinya sebagai pemandu yang telah terlalu lama menekan brek dan menanggung keletihan.

“12 tahun tekan brek sokmo, tak larat dah. Saya dah lama tak jadi driver spare. Mula dulu dari Pemuda Setiu, hari ini tiba masa untuk tukar pemandu,” katanya.

Ustaz Shaharizukirnain menyatakan keyakinan bahawa barisan pimpinan baharu mampu mengemudi PAS Kawasan Setiu ke arah yang lebih cemerlang, lebih-lebih lagi dalam menghadapi persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita harap pimpinan baru dengan ramai AJK baharu ini akan jadi tenaga penggerak utama. Dengan pengalaman dan semangat baru, PAS Kawasan Setiu akan terus mara ke depan,” tambahnya.

Turut diumumkan Naib Yang Dipertua, YB Ustaz Mohd Shafizi bin Ismail, kepimpinan baharu PAS Kawasan Setiu bagi sesi 2025-2027.