Home Berita PAS Terengganu

YCKS bukan sekadar santai

7
SHARE

DUNGUN – Program YB Cakna Komuniti Sejahtera(YCKS) diadakan di Unit Daerah Mengundi (UDM) Seberang Pintasan dijangka meriah dengan pengisian bermakna yang bukan sekadar santai, tetapi mendekatkan masyarakat kepada pemimpin secara langsung.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(MTD) Rantau Abang, Ustaz Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata program sebegini memberi ruang kepada pemimpin untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan masyarakat dalam suasana santai tetapi bermakna.

“Satu wadah mendidik, menyantuni dan membina kesejahteraan komuniti dan platform suara rakyat untuk megemukakan idea, cadangan dan harapan disampaikan secara langsung,” ujarnya.

Ustaz Mohd Fadhli berkata mengulas program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN itu dan akan diadakan di beberapa lokasi berbeza dalam UDM tersebut pada 9 Ogos ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang itu juga turut mengajak seluruh penduduk dari tiga Cawangan PAS terlibat iaitu Balik Bukit,Teluk Bidara dan Seberang Pintasan untuk memeriahkannya.

“Acara dimulakan dengan solat subuh berjemaah di Masjid Seberang Pintasan diikuti dengan sarapan pagi dan aktiviti 10,000 langkah sihat sebagai dorongan kepada gaya hidup lebih sihat dan aktif.

“Pelbagai acara sukaneka menyerikan suasana melibatkan semua peringkat umur – dari kanak-kanak, orang muda hingga ke muslimin dan muslimat – sekali gus mengukuhkan semangat kekeluargaan dan kejiranan.” jelasnya.

Katanya, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan percuma dan rawatan Islam, manakala agensi-agensi kerajaan membuka kaunter perkhidmatan sebagai usaha mendekatkan khidmat kerajaan kepada rakyat.

“Acara kemuncak program iaitu cabutan bertuah ternyata menjadi tarikan utama, menambahkan kemeriahan dan keterlibatan pengunjung.

“Program ini diharap dapat dijadikan contoh dan diteruskan di kawasan lain sebagai medium memperkukuh hubungan rakyat dan pemimpin demi kesejahteraan bersama”, tambahnya lagi.