Home Berita PAS Selangor

YB, Kalau Sekadar Hidu Aku Pun Boleh!! – Kredit Coretan Dari Negeri Selangor | Abdul Basith Bin Abdul Halim (ABAH)

992
SHARE

Oleh : Abdul Basith Bin Abdul Halim (ABAH)

Mari sini aku kongsikan fakta berkait air Selangor dan apa boleh Kerajaan Selangor lakukan untuk atasi isu air ini dari terus berulang.

SUMBER AIR MENTAH

Kalau anda ingin tahu, 6 daripada 7 lembangan sungai utama dalam negeri Selangor ini merupakan lokasi penting abstraksi air mentah dan letak duduknya muka sauk bagi Loji Rawatan Air (LRA) bagi Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Lebih kurang 8% sumber air mentah diambil dari Sungai Klang, 27% dari Sungai Langat dan yang terbanyak sekali iaitu 63% sumber air mentah diambil dari Sungai Selangor itu sendiri serta baki 2% diambil dari Sungai Bernam dan Sungai Tengi.

Empangan tadahan air mentah di Selangor saja ada 7 buah dan mempunyai lebih kurang 34 LRA untuk merawat air mentah sebelum diagih kepada pengguna. 10 buah daripadanya adalah Loji Utama (Besar) dengan total keupayaan kapasiti agihan 4,100 JLH dan bakinya hanyalah Loji Kecil.

Apa Selangor tiada sumber air mentah lain ke? Ada!! Tapi belum dimanfaatkan untuk skala yang lebih besar. Contoh sumber air bawah tanah. Secara umum kerja abstraksi air bawah tanah hanyalah untuk kegunaan industri dan aktiviti perkilangan sahaja.

Sumber air mentah alternatif yang dimiliki Negeri Selangor termasuklah sumber air dari kolam takungan, tasik dan bekas lombong. Dianggarkan ada lebih 19 kolam dan mampu bertahan selama 2 bulan kadar abstarksi yang dikawal rapi.

Walaupun secara umumnya sumber air mentah di Negeri Selangor begitu banyak, tetapi akibat satu pencemaran kecil di lembangan sungai utama dalam Negeri Selangor, hampir sebahagian besar kawasan dalam Negeri Selangor dan Lembah Klang akan terputus bekalan. Disini pentingnya untuk mencari solusi yang tuntas dan segera agar isu terputus bekalan air terutama sekali akibat pencemaran boleh diatasi.

CADANGAN PENAMBAHBAIKAN

Mari lihat 5 cadangan yang boleh dilakukan oleh Kerajaan. Sesuailah dengan kemampuan kewangan negeri antara yang terkaya di Malaysia dengan mempunyai rizab kewangan sejumlah 3.2 b (setakat tahun 2014).

  1. Saman, menarik balik lesen dan merobohkan semua binaan diatas tanah rizab dan koridor sungai utama negeri Selangor terutama yang melibatkan kilang-kilang, rumah ternakan haiwan dan penempatan haram.

Rizab sungai dengan kelebaran minimum 15 meter dan 50 meter untuk koridor sungai (bergantung keadaan) sepatutnya perlu disediakan dan dipastikan tiada sebarang struktur binaan dibenarkan. Anda boleh tengok sendiri berapa banyak kilang yang dibina betul-betul bersebelahan sungai.

  1. Demi memastikan rizab dan koridor sungai dapat dikawal, bina segera pagar disepanjang sungai untuk mengawal dari pencerobohan berlaku. Utamakan rizab sungai-sungai yang menjadi sumber bekalan air mentah negeri terutama bagi jarak 40-60 km dari muka sauk LRA.

Dalam masa yang sama usaha kearah menyediakan laluan Denai Sungai Nasional (National River Trails) seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) untuk mewujudkan 10,000 km laluan denai sungai di seluruh negara menjelang tahun 2030 dapat dicapai.

  1. Lagi berkait sumber air mentah, usaha untuk buat kajian dan menyegerakan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS). Dengan TAPS, kaedah penyimpanan air mentah dengan cara mewujudkan kolam di kawasan hilir dan pinggir sungai serta berhampiran loji dapat dipertingkatkan selain menjadi sebagai alternatif bagi sumber air mentah jika terdapat gangguan pada saluran utama sungai.

TAPS juga mampu membantu mengawal situasi banjir dan pelaksanaannya tidak memerlukan kos yang besar, selain mampu menjana ekonomi setempat.

  1. Bina segera tangki-tangki penyimpanan air terawat/bersih tambahan di kawasan-kawasan berpendudukan padat agar rizab air bersih tambahan ini dapat menampung keperluan dan permintaan air bersih saat LRA diberhenti tugas akibat pencemaran sungai atau kerja-kerja penyelenggaraan dibuat.
  2. Melantik dan mengupah penguatkuasa tambahan khusus untuk pantauan 24/7 sepanjang lembangan sungai utama negeri Selangor termasuk anak-anak sungai yang berhubung dengan sungai utama.

Antara sungai utama yang boleh diberi fokus adalah Sungai Langat (mempunyai 261 anak sungai), Sungai Selangor (290 anak sungai) dan Sungai Klang (253 anak sungai) yang boleh dipantau.

  1. Mewujudkan pelbagai alternatif untuk mempertingkatkan lagi sumber air seperti meneroka Sistem Penuaian Air Hujan (Rainwater Harvesting System) yang lebih komprehensif, mempergiatkan program Pengurangan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water – NRW) dan menerokai sistem perawatan air mentah yang lebih canggih dan moden.

Banyak lagi idea dan cadangan yang boleh diterokai oleh kerajaan untuk tambahbaik segala usaha untuk memastikan bekalan air bersih kepada rakyat tidak terhenti. Akan tetapi jangan dilupa, tugas jaga kebersihan sungai sebagai sumber air mentah utama kita adalah tanggungjawab kita bersama!!

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor

#PASSelangor
#BersamaMembawaSejahtera
#IslamMemperkukuhPerpaduan
#MediaPASSelangor