WANGSA MAJU, 20 Jun – Nasib seorang pelajar maahad tahfiz, Muhammad Arif Yusof yang memerlukan kerusi roda mendapat perhatian apabila dia menerima bantuan berkenaan daripada PAS Kawasan Wangsa Maju.
Kerusi roda tersebut dihadiahkan sendiri oleh Penyelaras Parlimen Wangsa Maju, YB Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh di kediaman pelajar berkenaan di Seksyen 2, Wangsa Maju semalam.
Turu hadir ialah Pegawai Khas Pusat Khidmat Komuniti PAS Wangsa Maju, Ahmad Zikri Yazid dan Pengerusi Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Zurina Din.
Menurut YB Senator, Arif merupakan pelajar sebuah maahad tahfiz di Perak yang terjatuh ketika pulang ke asrama, kedua-duanya tumit kaki retak dan sukar berjalan sehingga memerlukan kerusi roda.
Pegawai Khas PAS Wangsa Maju, Ahmad Zikri Yazid pula ketika ditanya menjelaskan bahawa PAS Wangsa Maju sentiasa mengambil berat kebajikan masyarakat yang ditimpa musibah dengan menghulurkan pelbagai sumbangan bagi merealisasikan misi kemanusiaan dan kebajikan di bawah slogan “Kebajikan Sejahtera”.
“Sumbangan daripada YB Kak Nuri ini ialah sebagai tanda keprihatinan serta untuk menyuburkan semangat tolong-menolong kita kepada pelajar, anak yatim, daif dan asnaf yang ketinggalan mendapat bantuan daripada mana-mana pihak,” katanya.
Zurina Din pula ketika ditemubual berharap agar kebajikan masyarakat setempat tidak lagi dipinggirkan dan ini memerlukan peranan dan tanggungjawab kolektif yang dimainkan warga masyarakat masing-masing.
“Sumbangan yang diberi diharap dapat meringankan beban pelajar ini untuk meneruskan pelajaran sekalipun ia tidak dapat sepenuhnya mengatasi kesukaran dan penderitaan yang dialami beliau sekeluarga,” katanya.