Home Berita PAS Pahang

Yang patah tumbuh, yang hilang berganti

214
SHARE

Oleh: RAHMAH AHMAD

INDERA MAHKOTA, 26 Okt. :: Majlis penyerahan tugas jawatan Pengerusi PASTI Kawasan Indera Mahkota kepada Muhamad Syakir Mohd Sampian telah berlangsung di Pusat Tarbiyah Zulkifli Muhammad, PUTRA Balok, di sini baru-baru ini.

Sebelum ini jawatan tersebut disandang oleh Mohd Rahimi Roslan yang telah berkhidmat selama 11 tahun.

Mohd Rahimi telah menamatkan tugasannya apabila usianya mencapai 40 tahun tidak lagi berada dalam Dewan Pemuda Indera Mahkota pada tahun ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Indera Mahkota Ustaz Zulfadli Zakariah menyifatkan Mohd Rahimi Roslan seorang yang sangat berdedikasi dan telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang sepanjang tempoh perkhimatannya.

“Beliau sangat mengambil berat tentang kebajikan guru-guru PASTI terutama semasa pandemik Covid 19, telah keluar mengagihkan barangan bantuan termasuk kepada ibu bapa PASTI yang terkesan pendapatan,” tambah beliau lagi yang hadir dalam majlis tersebut.

Beliau juga berharap agar pengerusi yang baru dapat meneliti visi dan misi PASTI serta dapat melaksanakan semaksimum mungkin agar terlaksana kehendak manual pengurusan selari mengikut kehendak Allah.

Suasana majlis menjadi suram apabila Mohd Rahimi Roslan dalam ucapannya mengimbau kembali kenangan beliau bersama Pengurus PASTI di peringkat cawangan-cawangan, Majlis Guru PASTI, dan guru- guru PASTI termasuk anak-anak PASTI.

“Saya berasa sangat bertuah kerana mempunyai ahli jawatankuasa yang sangat memberi sokongan sepanjang saya mengemudi pengurusan PASTI Kawasan Indera Mahkota.

“Sokongan daripada pihak pengurusan PASTI cawangan banyak membantu kelancaran tugasan saya, walaupun berat meninggalkan pengurusan, namun pengurusan perlu ketua yang baru untuk memberi nafas baharu dan menambah baik pengurusan,” kata Mohd Rahimi lagi.

Beliau juga dalam ucapannya turut menzahirkan harapan agar kepimpinan pengurusan yang baru dapat meneruskan legasi dan menambah baik pengurusan seiring dengan kemajuan teknologi.

“Kebajikan guru seharusnya menjadi keutamaan dan semoga lebih banyak lagi PASTI cawangan dapat ditubuhkan,” tambah beliau lagi.

Sementara itu Pengerusi Baru Muhamad Syakir Mohd Sampian dalam ucapannya akan meneruskan apa jua perkara baik yang telah sedia ada dan akan menambahbaik perkara-perkara yang boleh ditambah baik.

Beliau yang juga seorang usahawan, akan mempertingkatkan lagi kualiti pelajar yang dikeluarkan oleh PASTI Indera Mahkota, demi memperkukuh Islam di negara kita.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Jawatankuasa Harian Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota yang diketuai oleh Zulfadli Zakariah, Ketua Majlis Guru PASTI Kawasan Indera Mahkota, Fadzilah Hamid bersama jawatankuasa dan juga guru-guru besar PASTI cawangan.