Home Berita PAS Terengganu

Wujudkan skim bantuan petani khusus gangguan haiwan liar

31
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri dicadang supaya mewujudkan satu skim bantuan khas kepada petani di Hulu Terengganu, bagi menangani kemerosotan sektor pertanian akibat gangguan haiwan liar dan kekurangan sokongan infrastruktur.

Cadangan itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, yang menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan ketara aktiviti pertanian di daerah berkenaan, walaupun kawasan itu dahulunya terkenal sebagai antara pusat pertanian utama di negeri itu.

“Pada hari ini saya mencadangkan kepada kerajaan supaya memikirkan satu kaedah kerana antara salah satu sebab pertanian di Hulu Terengganu ini tidak maju selain daripada banjir ialah musuh-musuh tanaman seperti kera dan gajah.

“Bayangkan ada ladang sawit lima ekar yang sudah diusahakan selama lima tahun tiba-tiba musnah dalam satu malam sahaja kerana angkara gajah. Bayangkanlah betapa hibanya, sedihnya rasa.

“Jadi saya mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan satu skim sepertimana nelayan laut dan darat, ada skim elaun sara hidup.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, ancaman daripada haiwan liar seperti kera dan gajah antara faktor utama petani tidak lagi mampu meneruskan usaha mereka. Kawasan tanaman jagung misalnya, semakin berkurang kerana petani terpaksa menjaga ladang siang dan malam untuk mengelak serangan kera.

“Dulu kalau jagung, di Kampung Gaung. Kampung Langgar dan Kampung Buluh, sangat banyak. Tapi sekarang sudah tiada.

“Dimana lagi mahu tanam jagung? Sebab orang kampung sudah tidak boleh tanam jagung. Sebab gangguan kera. Jagung terpaksa ditunggu (dijaga), selagi kera tidak tidur, kena tunggu

“Kalau orang perempuan yang jaga kebun, memang dia (kera) tidak akan takut,” tambahnya.

ADUN Kuala Berang, Mamad Puteh, turut bersetuju dan menyokong kenyataan tersebut, menyatakan bahawa kawasan seperti Kuala Berang yang pernah terkenal dengan tanaman padi juga kini kelihatan terbiar.

“Saya sokong,” katanya ringkas, mengakui kawasan pertanian di Kuala Berang turut mengalami nasib yang sama.

Wakil Telemong itu turut membandingkan keluasan Hulu Terengganu yang mencecah 387,000 hektar, hampir tiga kali ganda berbanding Setiu, namun pembangunan pertanian di kawasan itu jauh ketinggalan.

Beliau berharap kerajaan negeri mengaktifkan semula pelan induk pertanian dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan terima kasih kepada ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, yang telah mengambil inisiatif menubuhkan Basung Rangers untuk membantu mengawal pergerakan gajah di kawasan terjejas.