Home Berita PAS Selangor

WASPADA DENGAN POLEMIK KHILAFIYYAH.

890
SHARE


WASPADA DENGAN POLEMIK KHILAFIYYAH.

Mazhab-mazhab diasaskan sebagai tanggungjwab ilmuan terdahulu menyelesaikan masalah umat Islam. Dari sudut praktis Islam, munculnya mazhab Feqh. Dari sudut mendepani pencemaran pemikiran dan penjajahan, munculnya mazhab Aqidah.

Malangnya pada hari ini mazhab yang sepatutnya menyelesaikan masalah umat, bertukar menjadi masalah buat umat. Ia dipolemikkan sehingga membutakan mata umat dari mendepani realiti cabaran semasa.

? Ingatan Wahyu.

Terdapat punca yang datang dari kelemahan umat Islam dan kelicikan pihak musuh dalam memanipulasi mazhab.
 
Ditambah lagi dengan dorongan sikap yang menganggap ilmu merupakan aset yang boleh dibanggakan untuk menaikkan prestij diri sendiri. Gejala ini telah diingatkan oleh Allah dan Rasul SAW;

“Adapun orang yang di dalam hatinya cebderung kepada kesesatan, maka mereka gemar mengikuti sebahagian ayat yang mempunyai kesamaran, untuk menimbulkan fitnah dan mereka-reka penyelewengan” – Ali Imran ayat 7.

“Barangsiapa yang menuntut ilmu semata-mata mahu dinobat sebagai ulama’, atau mahu menunjuk-nunjuk kepandaian terhadap orang-orang jahil, atau mahu meraih populariti di kalangan masyarakat, Allah akan memasukkanya ke dalam neraka” – hr Tirmizi.

? Tidak Meneliti Sejarah.

Kejahilan terhadap sejarah kemunculan mazhab dan selok belok mazhab menyumbang kepada kekaburan tujuan bermazhab. Kelemahan ini menyebabkan umat Islam gagal berinteraksi dengan tuntutan umat dan prioriti semasa.

Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang pernah menegaskan, akibat tidak menekuni sejarah yang melatari kemunculan mazhab menyebabkan seseorang menjadi fanatik dan gagal menyesuaikan keperluan bermazhab dengan tuntutan realiti.

? Strategi Musuh Islam

Kebelakangan ini kita sedari, sudah mula diaktifkan kembali polemik-polemik khilafiyyah. Di dalam lipatan sejarah, wujud polemik Kaum Muda dan Kaum Tua. Akhirnya penjajah Belanda & British yang beroleh keuntungan.

Apakah kita lupa sejarah orientalis Belanda yang bernama Snouck Hurgronje yang menyamar sebagai Kiyai Haji Abdul Ghafur @ Ghaffar. Seorang yang dilihat sebagai tokoh agama tetapi membawa misi perpecahan umat di Aceh melalui permasalahan khilafiyyah.

Strategi ini demi menguasai fokus umat Islam agar meninggalkan isu-isu besar yang menjajah mereka. Ia akan sentiasa dikitar semula.

? Negara Sasaran.

Musuh mensasarkan negara-negara yang mempunyai nuansa politik aman. Tidak terjebak dengan konflik bersenjata.

Pada masa yang sama jiwa masyarakatnya sedang pesat membangun kesedaran kembali kepada Islam.

Yang pasti polemik khilafiyyah tidak akan disambut oleh masyarakat yang rosak. Sebaliknya ia mesti disambut oleh masyarakat yang ‘mutadayyin’.

Jika diamati, Malaysia antara negara yang mempunyai kriteria tersebut. Masyarakat kita sedang semangat kembali menghayati Islam.

Kelas-kelas pengajian Islam laris. Gerakan Islam mendapat tempat mewakili suara masyarakat Islam dan proses mengislamkan sistem sedang giat di jalankan. Sudah pastilah musuh Islam tidak akan membiarkan Islam kembali bangkit dengan selesa.

Maka mereka memanipulasi semangat masyarakat awam muslim yang ingin kembali kepada Islam, dengan melencongkan arus mereka agar sibuk dengan polemik-polemik mazhab. Dengan sabotaj tersebut, dikira dapat menangguhkan kebangkitan Islam.

? Penyudahnya Gerakan Islam Yang Jadi Mangsa.

Terdapat beberapa tulisan musuh yang perlu diamati, sebagai gambaran apa yang berlaku ke atas dunia Islam.

Antaranya melalui tulisan Cheryl Bernard yang berjudul Civil Democratic Islam pada tahun 2004. Beliau membahagikan masyarakat Islam kepada empat bahagian. Kelompok yang ada kaitan dengan projek manipulasi mazhab adalah kelompok yang digelar traditionalis. Mereka terdiri di kalangan agamawan yang mempunyai pengaruh dan dilihat kononnya tidak berpihak.

Golongan ini diheret untuk bertembung dengan kelompok yang fokus ingin menegakkan Islam. Mereka mengajukan perbahasan-perbahasan yang kelihatan ilmiah untuk mengalih fokus umat Islam. Kesan dari modus operandi ini:

•  Masyarakat pening dengan isu cabang agama.

•  Topik-topik perjuangan Islam dipertikaikan menyebabkan timbul keraguan terhadap kelompok yang berusaha mengembalikan Islam.

•  Melahirkan golongan fanatik-fanatik mazhab yang saling bertempur.

•  Menyah-kreditkan wibawa gerakan Islam beralasankan mazhab.

•  Memberi talian hayat buat pendukung sekular dan memberi nafas baru buat pendukung neo-sekular.

•  Munculnya kempen yang kelihatan seperti sufisme tetapi bertujuan menghanyutkan umat islam dari mengambil bahagian dengan komitmen menegakkan Islam.

Begitu juga tulisan seliaan Rand Corporation bertajuk Unfolding Future Of The Long War yang ditulis   oleh Christopher G Pernin, Dale Stahl, Justin Beck dan Ricky Radaelli. Diterbitkan pada 2008 sebagai persediaan meledakkan konflik Asia Barat untuk menjayakan misi pemetaan semula dunia Islam.

Perancangan mereka bukan sekadar mewujudkan pertembungan antara aliran Khalaf dan Salaf. Bahkan jelas mereka merupakan dalang kepada pertembungan antara Sunni dan Syiah. Musuh mencipta polemik mazhab untuk mewajarkan konflik antara umat Islam.

? Contoh Senario.

Setelah pencerobohan Amerika ke atas Iraq, tiba-tiba konflik Sunni dan Syiah meruncing. Jika kita lihat, ini jugalah alasan awal yang terbit untuk meletuskan perang saudara di Syria.

Adu domba dimainkan dengan penuh licik, dibakar sentimen anti Sunni di wilayah Syiah dan dibakar sentimen anti Sunni di wilayah Syiah. Walaupun kita akui Syiah merupakan ajaran yang menyeleweng, tetapi kini bukan masanya untuk berbalah sesama ahli kiblat.

Sementara itu, jatuhnya Mursi di Mesir turut menyaksikan permainan propaganda mazhab. Para ulama’ dipergunakan untuk merangsang kebencian terhadap Ikhwan Muslimin beralasankan bahawa gerakan Islam tersebut beraliran Salaf.

Ditiupkan pula implikasi salaf menyebabkan kekufuran serta berpotensi menjadi khawarij yang bakal menghancurkan Islam di Mesir.

Propaganda tersebut dimainkan serentak dengan kempen sokongan terhadap General Abdul Fattah al-Sisi. Sedangkan regim tersebut dibiayai oleh Saudi yang terkenal sebagai negara Wahhabi serta didukung oleh Parti Nur yang mewakili aliran Salafi Mesir.

Akhirnya hasil dari polemik mazhab berjaya menjatuhkan gerakan Islam serta mencetuskan perang saudara yang memakan korban ribua nyawa hingga ke hari ini.

? Prioriti Semasa

Memahami prioriti semasa merupakan ilmu warisan sebaik-baik generasi didikan Rasulullah SAW. Diriwayatkan oleh Ibnu Kathir, sekumpulan rombongan yang datang dari Iraq pernah bertanya kepada Ibnu Umar tentang hukum darah nyamuk ketika berihram.

Lantas Ibnu Umar melenting kerana soalan sedemikian  bukanlah prioriti ketika itu. Sedangkan kes pembunuhan Saidina Hussein masih belum terbela. Beliau berkata;

 “Lihatlah mereka, bertanya tentang hal darah nyamuk, pada masa yang sama mereka telah menumpahkan darah cucu Rasulullah S.A.W!” (Ibnu Kathir, al-Bidayah Wa al-Nihayah)

Berdasarkan kisah ini, umat Islam perlu sentiasa memikirkan perkara yang mempunyai keutamaan yang lebih besar.

Pendirian tersebut perlu dipupuk bagi setiap generasi muslim supaya celik dan mampu mendepani cabaran global yang mendatang. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menegaskan;

“Menjadi satu bentuk pengkhianatan terhadap umat pada hari ini dengan membawa mereka tenggelam di dalam kancah perdebatan masalah-masalah furu’ feqh atau pinggiran aqidah” (Dr. Yusuf al-Qaradhawi, al-Sahwah al-Islamiyyah Baina al-Ikhtilaf al-Masyru’ wa al-Tafarruq al-Mazmum)

? Musim.

Ketika arus kebangkitan Islam dilihat mulai deras, tidak semena-mena tercetus isu-isu khilafiyyah yang mengganggu fokus umat.

Maka kita didorong untuk alpa dengan kemaraan doktrin Liberalisme yang mula mengambil alih penguasaan minda kebanyakan masyarakat awam muslim.

Lebih mengecewakan, umat Islam tidak merasa bertanggungjawab untuk menekuni perbahasan-perbahasan ideologi yang menjadi dasar penjajahan baharu.

Pemikiran-pemikiran yang dicipta untuk cuba merampas autoriti Allah sebagai pemutus dasar cara hidup manusia. Bukankah itu merupakan perkara usul yang tiada kompromi?

? Enak Dieksploit Musuh.

Musuh berjaya memanipulasi ilmuan-ilmuan Islam yang naif, agar bersilat dan menyemarakkan api permusuhan antara satu sama lain atas nama mazhab.

Katanya ilmiah, namun yang terzahir lebih kepada emosi, dendam & reaksi yang merugikan.

“Sesatnya sesuatu kaum setelah memperolehi hidayah, melainkan mereka ditimpa penyakit suka berdebat” – hr Hakim.

? Beringat.

Usah sewenangnya-wenangnya melayan polemik ini. Tidak dinafikan ia amat mengujakan seperti menonton pertandingan laga ayam. Namun apakah berbaloi dengan memperjudikan nasib umat?

Jika tidak terzahir sekarang pun, nantikanlah saat barah tersebut mengancam survival umat. Ketika itu masing-masing akan teringat sejarah jatuhnya Byzantine kerana ilmuannya sibuk berbahas ayam dahulu atau telur dahulu?

Abdul Mu’izz Muhammad
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
21 Julai 2017.

* ringkasan dari kertas kerja ‘Mengurus Polemik Mazhab’ bertarikh  3 April 2016.