Home Rencana PAS Wilayah

Warkah Maal Hijrah 1443H

253
SHARE

Sambutan tahun baharu hijrah perlu mencapai matlamat sebenar, tepat dan selari dengan kehendak Islam, apatah lagi dalam konteks hari ini, masih ramai yang tidak menyedari falsafah di sebalik peristiwa agung itu.

Ia bukan sekadar memperingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari Makkah ke Madinah, sebaliknya membuahkan hikmah cukup besar apabila kaum Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan, manakala Islam mula berkembang dan tersebar ke seluruh pelosok dunia.

Susulan peristiwa hijrah itu juga menyaksikan takwim Islam mula diperkenalkan, sekali gus ketetapan itu penanda aras kepada kehidupan Islam sebenar, iaitu pemisahan antara hak dengan batil.

Malah, keistimewaan Muharam perlu diketahui kerana ia diangkat sebagai bulan pertama dalam kalendar hijrah dan dikenali sebagai bulan Allah atau ‘syahrullah.’

Sesungguhnya bagi setiap diri Muslim yang berhijrah, Allah SWT janjikan mereka peluang kebaikan dan beroleh keredaan yang berpanjangan diatas pengorbanan dilakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman, dan orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 218)

Islam agama wasatiyyah iaitu agama yang komprehensif dan pertengahan. Sentiasa relevan, tanpa sempadan, tidak melampaui had dan bersesuaian dengan jiwa manusia sepanjang masa walau dalam apa keadaan sekalipun.

Malah Allah SWT meletakkan umat Islam sebagai umat yang punya sifat wasatiyyah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam) sebagai umat yang pertengahan (umat pilihan dan adil) supaya kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan Rasul (Muhammad SAW) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)

Justeru itu, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Wangsa Maju mengucapkan Selamat Maal Hijrah 1443H kepada semua warga Wangsa Maju yang dikasihi.

‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’

YB Senator Puan Hajah Nuridah Binti Mohd Salleh
Ahli Dewan Negara
Timbalan Ketua Wanita Perikatan Nasional Malaysia
Penyelaras Parlimen Wangsa Maju