HULU TERENGGANU – Sebanyak RM5,000 hasil sumbangan orang ramai berjaya disampaikan kepada keluarga dua beradik yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kampung Bukit Apit, Ajil minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, sumbangan tersebut disampaikan kepada waris agar dapat membantu meringankan beban ditanggung.
“Hari ini kita beri sumbangan kepada waris keluarga yang meninggal. Kejadian ini amat menyedihkan bukan saja kepada keluarga malah seluruh rakyat.
“Ini ujian besar bagi mereka (keluarga) dan diharap sumbangan ini dapat meringankan beban dan kesedihan yang terpaksa ditanggung dengan pemergian ahli keluarga,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa tragedi tanah runtuh, Ruziah Fuad, 46 di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Rakan Care Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil, Muhammad Zakaria menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua orang ramai dan dermawan yang menyumbang kepada tabung Derma Kilat yang dilancarkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) tersebut sejak minggu lalu
“Kami memandang tinggi dan mengucapkan terima kasih begitu mendalam kepada seluruh penderma yang begitu prihatin dan JPKK Kampung Jaba dan Bukit Apit yang turut bekerjasama dalam usaha mengerakkan tabung sumbangan ini.
“Saya juga berharap sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mangsa bencana yang masih dalam proses pemulihan dan memulakan kehidupan baharu selepas kejadian,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pagi tadi.
Kejadian tanah runtuh pada 29 November lalu menyebabkan seorang selamat dan dua lagi maut di tempat kejadian.
Mangsa pertama, Uzair Azman, 17, ditemui selamat di bawah runtuhan dinding konkrit di ruang tamu rumah, jam 5.17 petang.
Dua mangsa yang maut akibat terperangkap di bawah runtuhan tanah tersebut dikenali sebagai Puteri Sajidah Azman,16, dan Siti Fatimah Azman,13.