Home Berita PAS Terengganu

Waris atlet lawan pedang terima pampasan RM52,000

34
SHARE

KUALA TERENGGANU – Keluarga kepada seorang atlet pelapis sukan lawan pedang Terengganu, Allahyarham Muhammad Amirul Zulkafli yang meninggal dunia akibat lemas di Pantai Tanjung, Seberang Takir pada 21 Ogos 2020, menerima pampasan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) berjumlah RM52,000.

Pampasan melalui Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Berkelompok daripada MPI Generali Insurans Berhad itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah kepada bapa allahyarham Zulkafli Mohd,61, di kediaman keluarga mangsa di Telaga Daing, di sini, hari ini.

Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri melalui MSNT sebelum ini menyediakan skim perlindungan insurans kemalangan secara berkelompok untuk semua atlet di bawah jabatan itu.

“Setiap atlet MSNT dilindungi insurans sebagai bukti kecaknaan dan keprihatinan kerajaan negeri terhadap mereka. Dengan adanya pampasan seperti ini, ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga mangsa sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada atlet,” katanya selepas menyempurnakan majlis penyerahan wang pampasan insurans termasuk pengurusan jenazah bernilai RM52,000 itu.

Turut hadir, Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya.

Dalam kejadian malang tersebut, Allahyarham Muhammad Amirul yang ketika itu berusia 15 tahun ditemukan lemas ketika mandi bersama enam rakannya di pantai tersebut dan salah seorang rakan Allahyarham, Muhammad Aidil Ashman Abdul Manan turut lemas.

Sementara itu, Hasmaliza Omar, 40, yang merupakan ibu kepada Allahyarham  Muhammad Amirul berkata, dia akan menggunakan wang pampasan berkenaan untuk kebajikan allahyarham termasuk membuat tahlil dan sebahagiannya akan disedekahkan kepada rumah anak yatim.

“Kami bersyukur dan terkejut ketika dimaklumkan MSNT, sebenarnya tidak menyangka akan menerima wang pampasan ini kerana kejadian menimpa anak saya bukan dalam tempoh latihan atau sertai kejohanan.

“Wakil MSNT juga ada maklumkan supaya kami tidak berharap, apa-apapun kami sangat berterima kasih dengan pemberian ini,” ujar ibu kepada tiga anak itu.