Oleh ; Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas, Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, berasal dari Kampung Amer, DUN Kota Putera disini menjadi korban pertama mangsa banjir buruk yang telah melanda negeri ini sejak kelmarin.
Naib Yang Dipertua PAS, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, mangsa turun bersama tiga sahabatnya untuk memukat ikan dikawasan sawah padi kira-kira jam 8.15 pagi.
“Mangsa banjir di DUN Kota Putera sorang warga emas telah lemas.
“Mangsa berjaya ditemui kira-kira jam 10.10 pagi sekitar jarak lima meter dari lokasi dilaporkan hilang,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Sementara itu, katanya, pada saat ini, sebanyak sembilan Pusat Perpindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah ini.
Beliau menambah, seramai 575 orang yang mana 145 keluarga ditempatkan di PPS.
“Alhamdulillah, keadaan terkawal dan berkaitan dengan makanan di Kota Putera dimasak secara berpusat dan kita mengagihkan dalam berbungkus kepada semua PPS.
“Berkenaan dengan keperluan pakaian, biskut, keperluan asas seperti tikar khemah dan juga kain batik serta pelikat disediakan diberi oleh NADMA dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.
Tambah Khuzaini, beliau turut mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada pihak luar yang bersimpati.
“Kita menerima sumbangan seperti gandum, biskut, roti untuk kita agihkan kepada semua PPS,” tambah beliau.
Justeru itu, beliau berharap agar para penduduk sentiasa bersiap siaga dengan menyusun dan menyimpan barangan penting di tempat yang selamat.
“Biasanya perpindahan berlaku waktu malam jadi bila waktu malam mungkin banyak benda yang terlepas pandang.
“Jadi dalam keadaan siang buat persiapan awal untuk berpindah ke PPS yang lebih selamat,” tambah Khuzaini.