Home Berita PAS Terengganu

Warga emas ‘Gagah’ demi kecintaan terhadap wau

39
SHARE

MARANG – Mencipta wau yang bukan sahaja mampu menegak dan menongkah angin tetapi juga dengan hiasan yang indah serta berseni menuntut kemahiran yang tinggi.

Tidak ramai yang berminat dan mampu menguasai warisan ini, justeru mereka yang meneruskan usaha sebegini lazimnya warga tua yang melakukannya kerana minat dan bagi menambah rezeki.

Namun bagi warga emas berusia 70 tahun, dia tidak menjadikan usianya sebagai penghalang untuk menyertai  Program FIESTA Wau NEGAK Beautiful Terengganu 2023 bertempat di Kampung Surau Haji Yaakob, di sini hari ini.

Abdullah Mohd dari Kampung Rusila  berkata minat mendalam terhadap wau sejak dari zaman kanak-kanak memberi semangat kepadanya menyertai pertandingan itu.

“Wau telah sebati dalam hidup saya sejak dari usia kanak-kanak, selagi masih sihat dan mata masih ‘cerah’… saya akan terus buat wau dan terbangkannya kerana ia bukan hanya memberi kepuasan peribadi sebaliknya saya anggapnya sebagai satu tanggungjawab yang harus terus dipertahankan.

“Arwah bapa pernah memarahi kerana terlalu taksub dengan wau tapi akhirnya memberikan kebebasan untuk saya meneruskan hobi ini,”katanya ketika ditemui selepas program tersebut.

Majlis perasmian Program FIESTA Wau NEGAK Beautiful Terengganu 2023 disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd Nor Hamzah yang juga merupakan Ahli dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong.

Tambah datuk kepada 15 cucu ini, selain sayangkan seni warisan bangsa, permainan tradisional ini turut menjadi sumber rezeki keluarga sejak dirinya berusia belasan tahun lagi iaitu sekitar tahun 60-an lagi.

Sementara itu, Mohd Nor berkata semua pihak khususnya anak muda perlu mempunyai keinginan dalam diri untuk memartabatkan khazanah warisan bangsa ini.

“Nasihat saya, ini adalah peninggalan nenek moyang kita yang harus dipertahankan. Paling tidak pun, jadikannya hobi untuk kita luangkan pada masa lapang supaya warisan ini sentiasa berkekalan.

“Pertandingan ini juga ternyata berjaya memupuk semangat kerjasama di kalangan masyarakat setempat yang berbilang kaum,” katanya