Home Berita PAS Terengganu

Warga asing ‘perguna’ gadis tempatan demi halalkan bisnes

19
SHARE

KUALA TERENGGANU – Wanita di negeri ini diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis yang diungkapkan warga asing kerana ada niat terselindung di sebalik modus operasi mereka itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara taktik licik di sebalik ikatan cinta itu adalah bagi membolehkan mereka tinggal lebih lama di sini sekali gus memberi lesen untuk golongan terbabit menjalankan aktiviti perniagaan.

Ujarnya, pihaknya mengambil serius dan memberi perhatian terhadap aduan serta rungutan orang ramai yang melihat perniagaan warga asing mula berkembang di sekitar Terengganu.

“Apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan siasatan kebanyakan mereka berniaga dengan menggunakan lesen atas nama isteri.

“Saya mengharapakan agar wanita-wanita tempatan berfikir panjang dan mengambil kira banyak faktor jangan sekadar terpikat dengan rupa paras yang hensem supaya tidak menyesal pada masa akan datang.

“Kita tidak menolak ketentuan jodoh itu di tangan Allah, tetapi perlu berfikir sebelum mengambil keputusan yang kelak akan memberi kesan yang tidak baik lantaran warga-warga asing ini sengaja mengambil peluang untuk berada di negeri ini dengan sah dan menjadikan kaedah perkahwinan sebagai alat.

“Bagi menghalalkan keberadaan mereka di sini dan tanpa ada niat untuk bersungguh-sungguh mendirikan rumahtangga yang akan mengakibatkan berlaku pengabaian, akhirnya menyebabkan rumah tangga porak peranda,  tanpa ada  kebahagiaan dan kesejahteraan itu yang perlu kita bimbangi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu bersama PBT, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Azhar Abdul Hamid dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.

Mengulas lebih lanjut kata Wan Sukairi, masalah yang timbul ini mengakibatkan rakyat merasa terancam dan rimas dengan kebanjiran mereka.

“Ini juga menyebabkan timbulnya panggilan ‘mini Dhaka’, juga akan menjadi punca ekonomi akan mula dimonopoli warga asing sekali gus cukai dan zakat tidak dibayar,” katanya.

Dalam pada itu ujarnya, pertemuan yang diadakan pada hari ini adalah untuk melakukan penyelarasan segala gerak kerja di lapangan dan mewujudkan kolaborasi diantara semua PBT bersama-sama dengan pihak imigresen.

“Insya-Allah melalui kolaborasi ini apa-apa misi atau operasi yang akan dibuat akan disertai bersama antara JIM dan PBT jadi saya harap ia akan melancarkan lagi gerak kerja di lapangan bagi memastikan Terengganu akan sentiasa berada di dalam keadaan yang aman dan damai.

“Bagi memastikan ewujudan warga asing tidak akan mengganggu-gugat keselamatan rakyat dan menjamin keselesaan anggota masyarakat untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.