Home Berita PAS Terengganu

Wanita terus diperkasa melalui advokasi kepimpinan di Terengganu

52
SHARE

KUALA TERENGGANU – Usaha memperkasakan wanita dalam kepimpinan terus dipacu dengan pelaksanaan program advokasi yang memberi penekanan terhadap keupayaan wanita untuk memahami hak dan tanggungjawab mereka.

Timbalan Pengerusi Persatuan Undang-Undang dan Hak Asasi Rakyat (PRUHART), Datin Nor Raihan Abdullah, menegaskan bahawa wanita perlu diberikan ruang yang sewajarnya untuk menyumbang dalam kepimpinan.

“Program ini membuka ruang kepada wanita untuk memahami dasar-dasar berkaitan kepimpinan dan undang-undang melaui perbincangan yang memberikan input bermakna, termasuk kefahaman mendalam mengenai hak dan tanggungjawab wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.

“Ramai yang kini lebih memahami hak dan tanggungjawab yang sepatutnya dimiliki oleh wanita, terutama dalam konteks kepimpinan,” jelasnya.

Beliau yang juga pengarah program berkata demikian  selepas Program Pementoran Kemahiran Advokasi  Undang-undang  di Bilik Seminar FHC Corpation , Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, program sebegini sangat penting bagi mengiktiraf bahawa wanita mempunyai peranan, hak, dan tanggungjawab yang signifikan dalam kepimpinan, yang perlu diberi perhatian dan sokongan sewajarnya oleh masyarakat.

Tambah beliau, program yang berbentuk bengkel dan pementoran ini memberikan peserta latihan mendalam tentang pelbagai aspek undang-undang.

“Selain daripada teori, peserta juga diajar mengenai proses tuntutan di mahkamah serta kaedah untuk memahami dan memanfaatkan hak mereka sebagai seorang wanita.

“Objektif utama program ini adalah untuk memberi advokasi undang-undang kepada wanita, dengan fokus awal kepada kaum hawa di Terengganu. Usaha ini bertujuan memberikan penjelasan mendalam mengenai dasar wanita yang sedia ada,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, pada siri program yang akan datang, advokasi undang-undang akan diteruskan dengan memberi penekanan kepada isu-isu seperti harta sepencarian dan hak-hak lain yang berkaitan dengan wanita.

“Program ini adalah berbentuk bengkel  dan dan juga permentoran dan acara ini akan memberi input yang besar. Kalau sekiranya mereka tidak terlibat undang-undang mereka tidak akan mengetahui apakah advokasi undang kepada mereka,” katanya.

Beliau turut berkongsi bahawa sebuah buku mengenai penggubalan Dasar Wanita Terengganu dan Kelantan dijangka dilancarkan tidak lama lagi untuk menjadi rujukan masyarakat.

Justeru itu, beliau berharap supaya program ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai wanita.

“Jadi bila ada program seperti ini dapat membantu mereka dan juga  bagi pemahaman kepada masyarakat setempat.

“Kita tak boleh tinggal sekadar mencuit tetapi tidak memahamkan masyarakat,” tambah beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (KHAIRUNNISA), To’ Puan Hajah Zarani Othman, mengharapkan program seperti ini diperluaskan lagi.

“Insya-Allah, dengan penyertaan lebih ramai golongan guaman, NGO, dan masyarakat, kita boleh memperluaskan kefahaman mengenai advokasi undang-undang dan kepimpinan wanita.

“Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberi manfaat kepada lebih ramai wanita di negeri ini,” kata beliau.