Home Berita PAS Terengganu

Wanita teraju Pertanian Negeri

8
SHARE

KUALA TERENGGAN – Kerajaan Terengganu komited memperkasa wanita, terutama suri rumah dan ibu tunggal, dengan membuka peluang menceburi bidang pertanian secara tersusun dan berfokus.

Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, inisiatif tersebut sejajar dengan wawasan kerajaan negeri yang ingin memartabatkan sektor pertanian sebagai penyumbang utama pembangunan negeri secara lestari dan mesra alam.

“Melalui program Lamanita yang dilaksanakan di peringkat daerah, kita menyediakan ruang kepada wanita untuk menimba ilmu dan kemahiran baru dalam bidang pertanian.

“Di samping menjana pendapatan isi rumah melalui aktiviti di halaman sendiri,”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Lamanita Daerah Kuala Terengganu, di Pusat Pertanian Bandar, Kuala Terengganu, pada semalam.

Menurut beliau, program Lamanita yang julung kali diadakan itu melibatkan penyertaan dari kaum wanita di lapan daerah di seluruh Terengganu.

“Lamanita sangat sesuai untuk suri rumah kerana ia bukan sahaja memupuk minat dalam bidang pertanian, malah dapat meningkatkan pendapatan isi rumah melalui aktiviti pertanian di halaman kita sendiri,” tambah beliau.

Tuan Roslina turut menyeru semua pihak untuk bersatu padu menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan wanita melalui ilmu, kemahiran dan akhlak terpuji.

“Program ini adalah sokongan kita kepada kerajaan negeri yang mana  kerajaan sentiasa mewar-warkan membantu kerajaan dalam membangunkan sektor pertanian yang lestari dan mesra alam.

“Dengan ilmu yang kita ada dengan apa yang kita laksanakan di peringkat halaman rumah  masing-masing.

“Kita mengharapkan program akan terus maju ke hadapan untuk jadi  satu aktiviti keusahawan para wanita di negeri Terengganu,” ujarnya.

Beliau menambah, visi dan misi Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) adalah melahirkan golongan wanita berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri secara holistik.

Katanya, program ini menjadi platform penting dalam mendidik komuniti agar lebih aktif dan produktif, sekaligus menjadikan pertanian sebagai satu budaya baharu dalam kehidupan seharian rakyat Terengganu.