Home Berita PAS Sabah

Wanita perlu berilmu untuk hadapi Revolusi Industri 4.0

34
SHARE

Mohd Ezwan Reji
18 September 2024

KOTA KINABALU: Perwakilan Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Nur Liyana binti Dahon, menegaskan kepentingan ilmu bagi wanita dalam menghadapi cabaran dunia moden sempena perbahasan di Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia yang berlangsung di Kompleks Al-Makmur, Pahang.

Dalam ucapannya, Nur Liyana menekankan bahawa wanita perlu melengkapkan diri dengan ilmu untuk mengharungi perubahan dalam dunia Revolusi Industri 4.0, termasuk kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang bakal menggantikan banyak peranan manusia dalam pelbagai bidang pekerjaan dan muamalat harian.

Beliau berkata, “hanya dengan ilmu juga la wanita mampu menghadapi cabaran menempuh dunia Revolusi Industri 4.0.”

Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan padu perwakilan Sabah terhadap pembangunan Kompleks Muslimat Sejahtera (KOMSA) sebagai lambang kesatuan gerakan Muslimat PAS di Malaysia. KOMSA diangkat sebagai platform penting untuk wanita menyumbang kepakaran dan khidmat bakti kepada masyarakat.

Nur Liyana juga menyentuh mengenai pengalaman yang dikongsi oleh beberapa negara Islam di peringkat antarabangsa, yang memberi inspirasi kepada wanita untuk terus memperjuangkan sekaligus memelihara dan mengembangkan hak-hak wanita Muslim.

Menurutnya, perjuangan yang berkonsepkan pendidikan ini merupakan cara yang sangat berkesan dalam memperkukuhkan masyarakat.

Beliau sebelum mengakhiri perbahasan menegaskan sekali lagi pentingnya wanita Muslimat terus membekalkan diri dengan ilmu dan berperanan aktif dalam pembangunan negara.