Home Berita PAS Terengganu

Wanita mesti cakna, jangan leka

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) komited dalam usaha memperkasakan wanita negeri ini secara holistik merangkumi aspek akidah, ilmu, akhlak dan kemahiran.

Menurut Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, wanita Terengganu bukan sahaja perlu celik ilmu dan berkemahiran, malah mesti tampil sebagai pemimpin yang berprinsip dan berwibawa.

“Kita adalah pemimpin yang perlu teguh dalam memimpin.

“Wanita Terengganu sedang membangun daripada segi akidah, dan ilmunya terus berkembang melalui pelbagai program dan inisiatif di seluruh negeri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Wanita Terengganu Berinformasi yang berlangsung di Dewan PPR Hiliran, kelmarin.

Tuan Roslina turut menekankan keperluan menangani isu sosial secara serius, khususnya masalah anak luar nikah yang berlaku di dalam negeri sendiri.

“Isu ini sememangnya berlaku dalam negeri kita. Sebagai pemimpin wanita, kita tidak boleh leka. Kita perlu sentiasa proaktif dan berfikir secara serius bagaimana untuk menangani isu ini dengan berkesan,” tegas beliau.

Tambah beliau, USWa juga menekankan anjakan paradigma kepimpinan yang berteraskan prinsip dan nilai, serta memastikan hak wanita sentiasa terpelihara.

“Kerja kami adalah membangunkan wanita dan juga memastikan anjakan paradigma Terengganu berprinsip, paradigma dan berwibawa.

“Melestarikan wanita dengan pastikan hak wanita terpelihara,” ujarnya.

Menurutnya lagi, rakyat perlu mengambil peluang berjuta-juta ringgit peruntukan kerajaan pusat  ke negeri Terengganu dalam bidang usahawan.

“Rakyat kita perlu bijak ambil peluang. Berjuta-juta ringgit peruntukan usahawan disalurkan melalui pelbagai agensi, ambillah inisiatif untuk ke pejabat koperasi dan usahawan.

“Rebut peluang yang ada,” serunya.

Tuan Roslina memaklumkan bahawa satu Himpunan Wanita Berwibawa akan dianjurkan pada Julai ini, menghimpunkan para pemimpin wanita pelbagai peringkat.

“Saya tidak mahu wanita yang memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau pemimpin NGO hanya sekadar ada jawatan, tetapi tidak tahu bagaimana untuk membawa manfaat kepada orang bawah.

“Ini yang paling penting,” tambah beliau lagi.