Home Berita PAS Terengganu

Wanita jangan malu buat pemeriksaan kesihatan

10
SHARE

KUALA NERUS – Golongan wanita mesti berani menangkis perasaan malu membuat pemeriksaan kanser payudara kerana diagnosis awal boleh mengurangkan risiko kematian.

Isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata ia sangat penting untuk kaum wanita mengetahui risiko serta tanda awal mengenai kanser sekaligus mendapatkan rawatan segera.

Katanya, peratusan kanser payudara yang dikesan berada di peringkat tiga dan empat semakin meningkat, ia menunjukkan semakin ramai yang lewat membuat pemeriksaan awal.

“Oleh kerana itu, amat penting untuk para wanita mempunyai kesedaran yang lebih awal dengan membuat pemeriksaan dan saringan mamogram.

“Lebih-lebih lagi, seorang daripada 27 wanita berisiko untuk mengidap penyakit kanser ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payudara anjuran Khairunnisa’ bersama Breast Cancer Support Group (SAMO), Institusi Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin Universiti Malaysia Terengganu( UMT) serta Pusat Kesihatan UMT di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT di sini hari ini.

Tambahnya, kanser diperingkat awal juga kebiasaan lebih kecil dan boleh dirawat dengan mudah.

“Namun sekiranya dibiarkan kanser yang ada semakin membarah dan boleh membahayakan nyawa serta kos rawatan dan penjagaan juga meningkat,” jelas beliau.