Oleh : Daing Siti Nur Baity
KUALA TERENGGANU – “Ilmu adalah kunci kepada kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat,” demikian tegas Pengerusi Pertubuhan Wanita Terengganu Darul Iman Sejahtera (Wardah), To’ Puan Hajah Zarani Othman.
Beliau menegaskan bahawa ilmu bukan hanya untuk golongan muda atau pelajar, tetapi menjadi kewajipan sepanjang hayat bagi semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, pangkat mahupun latar belakang.
“Menuntut ilmu itu bukan pilihan, tapi kewajipan. Tanpa ilmu, kita akan kekal dalam kejahilan dan kejahilan itu membawa kepada kehancuran, bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Wanita Terengganu Berinformasi yang berlangsung di Dewan PPR Hiliran, semalam.
To’ Puan Zarani turut menekankan kepentingan ilmu Fardhu ain sebagai asas utama bagi setiap Muslim untuk mengenal Allah, Rasul, memahami perintah dan larangan agama serta menempuh hidup berlandaskan syariat.
Menyokong kenyataannya, beliau memetik sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa Allah menjamin rezeki bagi penuntut ilmu dan memelihara mereka daripada kesusahan.
“Ilmu bukan hanya untuk orang muda, bukan hanya di sekolah atau universiti. Ilmu perlu dicari oleh semua tidak kira umur, pangkat, atau latar belakang. Nak masak pun kena ada ilmu, apatah lagi nak urus keluarga dan masyarakat.
“Menuntut ilmu bukan menghabiskan duit, bahkan menjaga rezeki dan menarik keberkatan. Allah mempermudahkan jalan hidup bagi mereka yang menuntut ilmu, tak kira Muslim atau bukan Muslim,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, darjat orang yang berilmu dan tidak berilmu tidak sama.
“Mereka yang berilmu akan lebih mudah memahami isu-isu semasa, termasuk hal politik dan fardhu kifayah, sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan umat dan negeri.
“Kelebihan orang yang menuntut ilmu berdasarkan sabda Nabi SAW bahawa Allah menjamin rezeki kepada penuntut ilmu, bahkan dijauhkan dari kesusahan hidup.
“Lihat saja burung yang keluar pagi mencari rezeki, balik petang dengan tembolok penuh. Begitulah perumpamaan mereka yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu,” tambah beliau.
Turut sama dalam program ini ialah, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris dan Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Tuan Roslina Tuan Sulaiman.