KUALA NERUS – “Kami akui terkejut apabila diumumkan sebagai Juara Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka 2.0,” kata salah seorang pemenang berkumpulan, Siti Zaharah Sudin, 29.
Katanya, dia tidak menyangka akan memenangi pertandingan tersebut kerana kumpulan lain dilihat lebih kuat.
“Terkesima, terkejut dan tak percaya apabila dinobatkan sebagai juara sebab rasa macam orang lain hebat lagi daripada kami,” jelasnya.
Dia yang menetap di Kampung Merbau Pulas, Ajil, berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 yang di adakan di Bandar Baru Kuala Nerus, pada semalam.
Dia turut menceritakan bagaimana keterlibatan dalam explorace yang mana bermula dengan ajakan adiknya.
“Adik saya (Aisyah) nak sertai sangat explorace ini, pastu dia cari orang untuk cukupkan empat orang dan terbentuklah pasukan kami ini.
“Anyaman ketupat menggunakan reben paling mencabar sebab kami tak pandai menganyam ketupat nasi.
“Kalau ketupat palas kami pandailah tapi kami cuba siapkan jugak walaupun terpaksa gunakan stapler untuk siapkan sebiji sarang ketupat,” ujarnya.
Justeru itu, dia berharap agar program itu dapat diadakan lagi pada masa akan datang.
“Alhamdulillah sangat baik dan dapat menarik minat orang muda untuk sertai.
“Di samping bermain ada juga dapat ilmu dan dapat sihatkan badan.
“Berbaloi sangat hadiah yang dapat. Hilang penat walaupun pusing ’roundabout’ Bandar Kuala Nerus.
“Kalah dan menang adat permainan dan jangan takut untuk sertai lagi program-program seperti ini akan datang,” tambahnya lagi.
Katanya, pasukannya orang terdiri daripada Siti Aishah Sudin, 26, tinggal di Kampung Merbau Pulas, Mazila Muda, 40, Taman Hadhari, dan Norshahida Bbdul Manaf, 26 menetap di Kampung Tok Randok.