Home Berita PAS Pahang

Walimah Perdana 4.0 PAS di hati rakyat

180
SHARE

Oleh : ZAITON ABDUL HALIM

PEKAN, 9 Jul – PAS Kawasan Pekan membuka tirai Tahun Baru Hijrah dengan merealisasikan impian empat pasangan bergelar raja sehari di perkarangan Masjid Al Hidayah Chini Timur 2 di sini kelmarin.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan berkata, pada kebiasaannya majlis seperti ini disertai oleh pasangan muda, namun walimah 4.0 kali ini menampilkan sedikit keunikan kerana turut menerima penyertaan daripada pasangan warga emas.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan Ustaz Fadhil Noor pula menyifatkan kenduri rakyat seumpama ini dapat mengeratkan ukhuwah di kalangan masyarakat setempat sekaligus mendekatkan hati penduduk yang terkenal dengan lagenda Naga Tasik Chini dengan PAS.

Menurutnya lagi, tindakan PAS membantu dan mempermudahkan urusan pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga membuktikan PAS amat mementingkan kebajikan masyarakat dan bukanlah sebuah parti politik semata-mata.

Walimah Perdana 4.0 ini menyatukan empat pasangan iaitu, Asmanadyatul Nadwa Abd Samad dengan Muhammad Fardhan Fiqran Arizan, Mazenah Sibon dengan Jamaluddin Awang Besar, Siti Zulfahanim Mohamad Zin dengan Muhammad Abdul Raof Kasman serta Siti Mardhiah Ab Ghani dengan Muhammad Syammirul Alif Amran.

Setelah diijab kabulkan empat pasangan mempelai yang kesemuanya berasal dari Chini telah diraikan dengan pertunjukkan silat oleh pasukan Seni Silat Gayung Malaysia Gelanggang Naga Chini yang dipimpin oleh bekas Pesilat Kebangsaan Mohd Hazwan Hamdan.

Majlis yang mengekalkan tema hijau ini telah dihadiri juga oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Pekan Ustaz Abu Kassim Manaf serta ahli keluarga mempelai dan masyarakat sekitar.