Home Berita PAS Terengganu

Walau Ditekan, Prestasi Ekonomi, Hasil dan Pelaburan Terengganu Melonjak

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu terus membuktikan keupayaannya sebagai negeri yang stabil dan berdaya maju apabila berjaya mencatat peningkatan luar biasa dalam hasil ekonomi serta pelaburan negeri sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun kerajaan negeri berdepan pelbagai cabaran dan kritikan, prestasi keseluruhan pentadbiran terus melonjak dengan pencapaian yang membanggakan dalam pelbagai sektor pembangunan.

“Walaupun kita berdepan dengan pelbagai perkara, usikan situ, usikan sini, dicubit situ, dicubit sini, tapi kita masih lagi dapat melonjak prestasi kerajaan negeri dengan pelbagai pencapaian dan pengiktirafan yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini,” katanya dalam Ucapan Pergulungan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2026 Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, semalam.

Menurut beliau, prestasi ekonomi negeri berada pada landasan kukuh hasil pengurusan fiskal yang berhemah dan tadbir urus yang cekap.

“Bagi tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari tahun 2021 sehingga 2024, purata hasil janaan negeri meningkat 11.9 peratus kepada RM264.88 juta setahun berbanding RM236.77 juta dalam RMK11.

“Ekonomi negeri juga berkembang secara purata 4.1 peratus setahun berbanding hanya 1.9 peratus dalam tempoh RMK11,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan, lonjakan ketara itu turut dipacu oleh pertumbuhan pelaburan yang memberangsangkan serta sumbangan syarikat milik kerajaan negeri.

“Nilai pelaburan kumulatif bagi tempoh RMK12 sehingga Jun 2025 meningkat 48.2 peratus kepada RM14.3 bilion berbanding RM9.6 bilion dalam RMK11.

“Pendapatan kumulatif Kumpulan Terengganu Inc turut meningkat daripada RM900 juta pada 2018 kepada RM1.75 bilion pada 2024,” katanya lagi.

Ahmad Samsuri menambah, kejayaan ini bukan sahaja menggambarkan kemajuan ekonomi, malah turut mencerminkan kesejahteraan rakyat yang semakin baik.

“Skor Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia tertinggi iaitu 864 pada 2024 turut meletakkan Terengganu sebagai negeri paling bahagia,” jelasnya.

Beliau menjelaskan bahawa dengan pencapaian tersebut membuktikan wujudnya keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang menjadi teras utama kepada dasar pembangunan negeri.