Home Artikel PAS Perlis

Wala’ dan Thiqah Ahli Gagalkan Gelombang Fitnah Musuh

658 views
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR: Bimbang dengan bibit-bibit penyatuan umat Islam yang semakin rancak berlaku sejak akhir-akhir ini menyebabkan Pakatan Harapan semakin terdesak hinggakan sanggup mencipta dan menyebarkan fitnah bagi menggagalkannya.

Demikian didedahkan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr. Ustaz Hj Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri ketika berucap dalam Liqa’ Fikri PAS Perlis yang berlangsung di sini pada 19 Mac yang lalu.

Hadir sama dalam program berkenaan, Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hj. Hashim Jasin, Ahli Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Ahmad Ali serta Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli.

Katanya, sedari awal lagi, PH sememangnya sedar bahawa kedudukan mereka khasnya sebagai pakatan yang memerintah kerajaan, akan terancam sekiranya umat Islam di negara ini berjaya disatukan.

Justeru tambah beliau, mereka telah mewujudkan pelbagai bentuk fitnah, antaranya isu RM90 juta dan RM1.4 juta, serta yang terbaru dakwaan kerjasama UMNO dengan PAS akan memecah-belahkan rakyat dan menyebabkan negara menjadi seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban, bagi tujuan menggagalkan penyatuan berkenaan serta menanam rasa sangsi ahli terhadap pimpinan yang boleh melemahkan PAS.

“Pakatan Harapan, bila dia nampak kekuatan kesatuan ini dia akan cuba rungkaikan dengan pelbagai cara.

“Sangkaan (yang terhasil daripada fitnah) bila diulang-ulang, ia akan tetap masuk dan memberi kesan (kepada masyarakat), maka musuh dia faham benda ni dan dia akan sentiasa ulang (agar masyarakat mempercayainya),” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kekuatan wala’ dan thiqah yang terbina kukuh dalam kalangan ahli PAS menjadi benteng paling ampuh yang menyebabkan siri gelombang fitnah berkenaan sentiasa menemui kegagalan.

Selain itu katanya, keyakinan terhadap dasar parti serta matlamat untuk meraih keredhaan Allah turut menjadi punca mengapa ahli PAS tetap istiqamah dengan parti berkenaan bahkan sanggup mengorbankan segala kepentingan diri mereka demi perjuangan Islam bersama-sama dengan PAS.

“Ahli dan pimpinan PAS ini berjihad dengan jasadnya, dikorbankan harta bendanya untuk perjuangan.

“Sebab kita faham, cari redha Allah ini kerja PAS, sebab itulah kita sanggup habiskan apa yang kita ada demi (perjuangan) Islam,” ujarnya.