KEMAMAN – Semua wakil rakyat di daerah Kemaman turun padang menziarahi Hospital Kemaman sempena sambutan Hari Raya, baru-baru ini.
Kunjungan tersebut melibatkan wakil rakyat di Parlimen Kemaman iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, ADUN Chukai, Hanafiah Mat, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam yang bersama-sama menyantuni pesakit serta petugas kesihatan di hospital berkenaan.
Menurut Razali, lawatan itu bertujuan memberikan sokongan moral kepada pesakit dan petugas yang tidak dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga.
“Kami turut menyampaikan sumbangan dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada pesakit yang menerima rawatan.
“Selain menghargai jasa serta pengorbanan petugas kesihatan yang bertugas pada musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan tersebut.
Turut hadir adalah pegawai perubatan serta kakitangan hospital yang menyambut baik inisiatif wakil rakyat dalam mendekati komuniti setempat.
Razali berkata pihaknya mahu memastikan mereka yang berada di hospital tetap merasai kemeriahan Hari Raya seperti orang biasa yang lain.
“Inisiatif ini juga merupakan acara tahunan sekali gus tanda keprihatinan dan penghargaan kami terhadap mereka.
“Lawatan berakhir dengan sesi ramah mesra dan doa agar semua pesakit diberikan kesembuhan segera,” ujarnya.