Home Berita PAS Terengganu

Wakaf Mempelam FC Julang Piala YB ADUN 2025, Sorakan 5,000 Penyokong Gegar Stadium

3
SHARE

Oleh: Khairi Ramzan

KUALA TERENGGANU – Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bergema dengan sorakan lebih 5,000 penyokong malam tadi apabila Wakaf Mempelam FC menamatkan penantian penuh dramatik dengan menjulang Piala YB ADUN Wakaf Mempelam 2025, selepas menewaskan Durian Burung FC 2-1 dalam aksi final yang sengit dan mendebarkan.

Perlawanan yang bermula tepat jam 9 malam itu menyajikan pertarungan dua gergasi tempatan yang masing-masing mempamerkan semangat juang tinggi dan corak permainan pantas sejak wisel pertama.

Gol kemenangan Wakaf Mempelam FC hadir hasil gerakan berpasukan kemas, sekaligus mengundang gegaran sorakan penyokong setia yang membanjiri stadium.

Kejayaan tersebut disifatkan hasil latihan rapi dan disiplin tinggi yang ditunjukkan pasukan muda itu di bawah bimbingan jurulatih tempatan berbakat besar.

Turut hadir memberikan sokongan serta menyampaikan trofi kejuaraan iala ADUN Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, yang menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan semangat pasukan kampung halamannya itu.

“Kejohanan ini bukan sekadar medan persaingan bola sepak, tetapi juga platform mencungkil bakat baharu dan mengeratkan ukhwah dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya ketika berucap selepas perlawanan.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim, yang turut menyampaikan penghargaan kepada semua pasukan atas semangat kesukanan tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.

Menurut penganjur, edisi 2025 kali ini antara yang paling meriah sejak penganjurannya, dengan penyertaan pasukan dari seluruh kawasan DUN Wakaf Mempelam serta sambutan luar biasa daripada komuniti setempat.

Dengan kemenangan ini, Wakaf Mempelam FC bakal membawa cabaran DUN ke Liga Ahli Parlimen yang dijangka membuka tirai tidak lama lagi.

Tahniah turut dihulurkan kepada Durian Burung FC yang tetap menampilkan semangat juang kental hingga ke wisel penamat, bukti bola sepak tempatan terus hidup dan subur di hati rakyat Terengganu.