DUNGUN – Tokoh Dakwah Maulidur Rasul Negeri Terengganu Tahun 1443H, Ustaz Haji Mohd Suhaimi Tuan Guru Haji Daud menganggap, anugerah yang diterimanya sebagai suatu peringatan tentang wajibnya meneruskan tugas dakwah Nabi Muhammad SAW.
Katanya, kehadiran baginda di dunia ini, menerangkan kegelapan dengan sinar cahaya hidayah Allah dan disambung oleh para ulama setelah kewafatannnya.
“para ulama telah mewarisi ilmu daripada baginda dan terus istiqomah menyebarkan Islam ke seluruh pelusuk dunia sehingga ke hari ini.
“Jika perjuangan ini tidak diteruskan, maka bertimpa-timpalah musibah yang akan melanda umat akibat daripada kejahilan dan kemaksiatan,” tegasnya ketika dihubungi.
Beliau yang juga Pengerusi Pondok Manazil Siddiqin, Dungun berpendapat, tema Maulidur Rasul pada tahun ini, iaitu “Manhaj Rabbani, Umat Berkualiti”, sayugialah difahami.
“untuk melahirkan dan memimpin umat yang berkualiti mestilah di atas landasan Manhaj Rabbani yang benar.
“Selari dengan apa yang diajarkan oleh ulama Ahlu Sunnah Wal Jamaah dari sudut aqidahnya, feqahnya dan tasawufnya.” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar seluruh masyarakat berpegang kepada Tauhid Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang haq dan beramal dengan Feqah Mazhab yang sahih.
“serta bersuhbah dengan ulama Tasawuf yang mursyid jika sesebuah masyarakat hendak memperoleh kebaikan disisi Allah,
“hendaklah mereka menempatkan diri mereka sebagai penuntut ilmu walau dimanapun mereka berada. Terutamanya muda-mudi hari ini, hendaklah mereka semakin bersungguh-sungguh menuntut ilmu,” katanya yang juga Bendahari Dewan Ulama Parti Islam Se-Malaysia(PAS) Terengganu.