Home Minda Presiden

Wajib mempertahankan Masjid Al-Aqsa

106
SHARE

Minda Presiden PAS
WAJIB MEMPERTAHANKAN MASJID AL-AQSA


Kota al-Quds ialah tanah suci ketiga bagi umat Islam yang menjadi kiblat pertama sebelum diubah ke arah Kaabah di Makkah dan juga merupakan bumi para anbiya’. Tanah suci itu menjadi tempat pilihan berlakunya Isra’ dan Mi‘raj, di mana Rasulullah SAW menjadi tetamu Allah SWT pada malam yang paling bersejarah, serta menjadi imam sembahyang secara berjamaah bersama para anbiya’ ketika itu.

Semua perkara tersebut menunjukkan dalil kekuasaan Allah SWT dan kerasulan Nabi Muhammad SAW kepada seluruh alam. Bumi Palestin yang mengelilinginya juga diberkati Allah SWT sebagaimana yang ditegaskan oleh nas al-Quran melalui firman-Nya:

﴿سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ١﴾

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati di sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Isra’: 1)

Masjid al-Aqsa terkini berada dalam keadaan yang paling bahaya, kerana diceroboh oleh pengikut Zionis (fanatik kaum Yahudi). Ramai yang tidak peka tentang situasi yang sedang berlaku kini, betapa tindakan mereka bertujuan merobohkan masjid suci itu.

Keadaan ini menunjukkan mereka mempunyai perancangan untuk membina sebuah Kuil Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman di tapak masjid itu. Kuil yang dipercayai oleh mereka menjadi tonggak atau simbol kepada Negara Agung Israel yang diperjuangkan pada akhir zaman.

Di samping itu, mereka juga mencari Tabut (keranda atau peti kayu) yang menjadi azimat untuk berperang bagi menakluk dunia mengikut kepercayaan mereka. Peti yang disebutkan menjadi tanda kelayakan Talut menjadi raja, sewaktu mereka pernah menolaknya dahulu. Perkara ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَالَ لَهُمۡ نَبِيُّهُمۡ إِنَّ ءَايَةَ مُلۡكِهِۦٓ أَن يَأۡتِيَكُمُ ٱلتَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٞ مِّن رَّبِّكُمۡ وَبَقِيَّةٞ مِّمَّا تَرَكَ ءَالُ مُوسَىٰ وَءَالُ هَٰرُونَ تَحۡمِلُهُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَةٗ لَّكُمۡ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ٢٤٨﴾

“Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: ‘Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya daripada Allah) ialah datangnya kepada kalian peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberikan) ketenteraman jiwa daripada Tuhan kalian, dan (berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi suatu tanda keterangan bagi kalian jika betul kalian orang-orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah: 248) 

Mereka mahu melaksanakan cita-cita pembinaan Negara Agung Israel yang dipimpin oleh al-Masih (Dajjal) sebagai kuasa besar tunggal, di mana sempadannya bermula dari Sungai Nil (di Mesir) hingga ke Sungai Furat (di Iraq) termasuk kota suci Madinah. Sehinggakan, ia menjadi slogan perjuangan mereka yang mewajibkan semua kaum Yahudi di seluruh pelosok dunia agar berhijrah pulang ke negara itu.

Oleh itu, apa yang dinamakan penyelesaian dua negara (two-state solution) adalah satu penipuan. Manakala mereka yang melaksanakan normalisasi terhadap negara Israel terkini pula sebenarnya telah ditipu atau bersikap jahil.

Apa yang dilakukan oleh Zionis itu telah terpesong daripada ajaran kitab Taurat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa AS. Antara perkara yang dinyatakan dalam Taurat ialah kewajipan terhadap bangsa Yahudi agar bersama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Allah SWT telah mendedahkan perkara ini melalui firman-Nya:

﴿ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ١٤٦﴾

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang Kami berikan Kitab (Taurat dan Injil) mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).” (Surah al-Baqarah: 146)

Bahkan, para nabi mereka juga mengadakan ikrar dengan pengikut masing-masing. Hal ini dinyatakan oleh firman Allah SWT:

﴿وَإِذۡ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَٰقَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ لَمَآ ءَاتَيۡتُكُم مِّن كِتَٰبٖ وَحِكۡمَةٖ ثُمَّ جَآءَكُمۡ رَسُولٞ مُّصَدِّقٞ لِّمَا مَعَكُمۡ لَتُؤۡمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥۚ قَالَ ءَأَقۡرَرۡتُمۡ وَأَخَذۡتُمۡ عَلَىٰ ذَٰلِكُمۡ إِصۡرِيۖ قَالُوٓاْ أَقۡرَرۡنَاۚ قَالَ فَٱشۡهَدُواْ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّٰهِدِينَ٨١ فَمَن تَوَلَّىٰ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٨٢﴾

“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada Nabi-nabi (dengan firman-Nya): ‘Sesungguhnya apa jua Kitab dan hikmah yang Aku berikan kepada kalian, kemudian datang pula kepada kalian seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kalian, hendaklah kalian beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kalian bersungguh-sungguh menolongnya.’ Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): ‘Sudahkah kalian mengakui dan sudahkah kalian menerima akan ikatan janji-Ku secara yang demikian itu?’ Mereka menjawab: ‘Kami berikrar (mengakui dan menerimanya).’ Allah berfirman lagi: ‘Jika demikian, maka saksikanlah kalian, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kalian.’ (81); Kemudian, sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq. (82)” (Surah Ali ‘Imran: 81-82)

Perkara ini dibuktikan lagi oleh beberapa pendeta dan ilmuwan mereka yang memeluk Islam, seperti ‘Abdullah bin Salam RA dan isteri Rasulullah SAW iaitu Safiyyah binti Huyai RA pada zaman Baginda SAW. Adapun pada zaman kini, ilmuwan terkenal berbangsa Yahudi pula memeluk Islam seperti Muhammad Asad, Maryam Jameelah dan lain-lain.

Mereka tidak layak memerintah Palestin sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT kepada Nabi Ibrahim AS yang berhijrah ke sana:

﴿۞وَإِذِ ٱبۡتَلَىٰٓ إِبۡرَٰهِ‍ۧمَ رَبُّهُۥ بِكَلِمَٰتٖ فَأَتَمَّهُنَّۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامٗاۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِيۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهۡدِي ٱلظَّٰلِمِينَ١٢٤﴾

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: ‘Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia.’ Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: ‘(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) daripada keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan).’ Allah berfirman: ‘(Permohonanmu diterima, tetapi) janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.’” (Surah al-Baqarah: 124)

Allah SWT mendedahkan kezaliman mereka yang berlaku sepanjang sejarah, dan sesungguhnya mereka sama sekali tidak layak mewarisi Palestin dan Bait al-Maqdis.

Firman Allah SWT:

﴿…وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِ‍َٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّ‍ۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ٦١﴾

“…Dan mereka ditimpakan dengan kehinaan dan kepapaan, dan sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Oleh yang demikian, adalah disebabkan mereka kufur (mengingkari) ayat-ayat Allah (perintah-perintah dan mukjizat-mukjizat yang membuktikan kebesaran-Nya); dan mereka pula membunuh para nabi yang tidak dibenarkan. Demikian itu adalah disebabkan mereka menderhaka dan mereka pula sentiasa menceroboh.” (Surah al-Baqarah: 61)

Mereka dihalau dari Madinah dan wilayah Semenanjung Tanah Arab pada zaman Islam kerana terlalu banyak kejahatan yang dilakukan dan tidak mengenang budi terhadap kerajaan Islam yang melayan mereka dengan adil. Bahkan, beberapa kali mereka pernah diselamatkan daripada bencana yang menimpa, namun kebanggaan dengan kebangsaan Yahudinya menjadikan mereka takabur laksana Iblis yang dilaknat oleh Allah SWT.

Kedatangan mereka semula ke Palestin pada akhir zaman adalah bagi menamatkan ajal kaumnya yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Mereka memasuki bumi Palestin dengan penuh kezaliman dan segala perbuatan maksiat serta kemungkaran untuk melayakkan diri menerima hukuman Allah SWT di dunia sebelum akhirat kelak.

Dalam pada itu, mereka juga bertindak menubuhkan sebuah negara secara haram dengan merampas tanah daripada penduduk asal sejak zaman-berzaman sebelum munculnya bangsa Yahudi. Tindakan itu diambil dengan sokongan kuasa besar selepas kejatuhan kerajaan Islam.

Mereka pada hakikatnya dari segi agama langsung tidak berhak memiliki tanah suci itu, disebabkan mereka telah mengkhianati agamanya dan para Rasul, khususnya Nabi Musa AS. Hal ini disebutkan oleh firman Allah SWT:

﴿وَإِذْ قَالَ مُوسَىٰ لِقَوْمِهِ يَا قَوْمِ لِمَ تُؤْذُونَنِي وَقَد تَّعْلَمُونَ أَنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ ۖ فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ٥﴾

“Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ‘Wahai kaumku! Mengapa kalian menyakitiku, sedangkan kalian mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kalian?’ Maka, tatkala mereka berpaling (daripada kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah SWT memalingkan hati mereka; dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang fasiq (derhaka).” (Surah al-Saff: 61)

Bangsa Yahudi pernah dihalang oleh Allah SWT daripada masuk ke Palestin kerana mereka tidak menyahut seruan jihad bagi menegakkan agama dengan beramal berdasarkan kepada Kitab Taurat daripada Allah SWT. Sehinggakan, mereka disesatkan dalam perjalanan selama 40 tahun lamanya.

Malah, mereka juga dikurniakan peluang untuk memerintah beberapa kali dalam sejarahnya, apabila mereka beramal dengan Kitab Allah Taurat. Akhirnya, apabila mereka derhaka terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya Nabi ‘Isa AS dan paling akhirnya ialah Nabi Muhammad SAW, mereka dilaknat hingga akhir zaman dan tidak mempunyai kelayakan hingga kini.

Hanya pihak kuasa besar penjajah yang bersekongkol dengan kaum yang dilaknat Allah SWT itu yang berjaya membawa mereka masuk ke Palestin. Tujuannya hanyalah sekadar menjadi alat untuk menentang Islam dengan dipersenjatakan segala jenis persenjataan, termasuklah senjata pemusnah yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa.

Pada masa yang sama, mereka juga disokong oleh media Barat yang bersekongkol dengan mereka, sehingga menggambarkan mereka dizalimi walaupun melakukan keganasan secara bersenjata. Adapun seluruh umat Islam yang menentang mereka pula, semuanya disenaraikan sebagai pengganas.

Terkini tindakan zalim dilakukan oleh Yahudi Zionis dengan menghalau penduduk yang telah menetap sejak awal secara ganas menggunakan segala alat membunuh. Bahkan, mereka juga merampas rumah kediaman atau merobohkannya, termasuk kedai perniagaan dan kebun-kebun digantikan menjadi penempatan pendatang bangsa Yahudi yang dikumpulkan dari luar bumi Palestin.

Perkembangan paling mutakhir, mereka menceroboh masuk ke dalam Masjid al-Aqsa dan bertindak ganas terhadap mereka yang memakmurkan masjid tersebut.

Umat Islam diwajibkan bertindak ke atas kaum yang zalim itu yang menjadi kewajipan agama sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah SWT. Khususnya dengan mempertahankan tanah suci agama, bumi para anbiya’ dan umat Islam yang dicerobohi oleh kaum yang paling melampau dalam sejarah manusia.

Firman Allah SWT:

﴿وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّن مَّنَعَ مَسَٰجِدَ ٱللَّهِ أَن يُذۡكَرَ فِيهَا ٱسۡمُهُۥ وَسَعَىٰ فِي خَرَابِهَآۚ أُوْلَٰٓئِكَ مَا كَانَ لَهُمۡ أَن يَدۡخُلُوهَآ إِلَّا خَآئِفِينَۚ لَهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا خِزۡيٞ وَلَهُمۡ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٞ١١٤﴾

“Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang menyekat dan menghalangi daripada menggunakan masjid-masjid Allah untuk (sembahyang dan) menyebutkan nama-Nya, dan berusaha pula untuk meruntuhkannya? Mereka itu tidak sepatutnya masuk ke dalam masjid-masjid itu melainkan dengan rasa penuh hormat dan takut kepada Allah (bukan dengan cara yang mereka lakukan itu). Mereka (dengan perbuatan itu) akan beroleh kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka mendapat azab seksa yang amat berat.” (Surah al-Baqarah: 114)

Firman Allah SWT:

﴿وَقَٰتِلُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kalian, dan janganlah kalian menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.” (Surah al-Baqarah: 190)

Kaum Yahudi Zionis itu tidak berhak menegakkan negaranya di bumi Palestin kerana kedatangan mereka sebagai penceroboh ke tanah suci umat Islam yang diamanahkan mempertahankannya. Maka, negara yang dibentuk itu haram, dan tidak layak dinormalisasikan dengan apa-apa cara dan helah sekalipun.

Kita pernah menyaksikan adanya kesedaran dalam kalangan umat Islam, apabila berlaku pembakaran Masjid al-Aqsa oleh seorang fanatik Yahudi, pada tahun 1969 setelah berlangsung Sidang Kemuncak Negara Islam di Maghribi (Morocco) dan rentetan selepas itu ditubuhkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah pada 25 September 1969.

Malangnya, pada akhir-akhir ini hanya tinggal segelintir sahaja pemimpin negara Islam yang berani membuat kenyataan yang tegas dengan mengajak umat Islam bersatu dan bersedia menentang Zionis yang zalim itu. Namun, kalangan rakyat umat Islam di seluruh pelosok dunia hari ini sudah mula menunjukkan semangat yang tinggi berkobar-kobar.

Hal ini menandakan adanya kemanisan iman dalam diri mereka dan sifat persaudaraan Islam yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:

‌مَثَلُ ‌الْمُؤْمِنِينَ ‌فِي ‌تَوَادِّهِمْ، ‌وَتَرَاحُمِهِمْ، ‌وَتَعَاطُفِهِمْ ‌مَثَلُ ‌الْجَسَدِ ‌إِذَا ‌اشْتَكَى ‌مِنْهُ ‌عُضْوٌ ‌تَدَاعَى ‌لَهُ ‌سَائِرُ ‌الْجَسَدِ ‌بِالسَّهَرِ ‌وَالْحُمَّى.

“Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman berkait dengan hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi sesama mereka laksana hubungan anggota dalam satu jasad. Apabila satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh jasad merasa sakit sehingga berjaga dan demam.” (Riwayat Muslim 2586)

Allah SWT berfirman:

﴿وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا٧٥﴾

“Dan apakah yang menghalang kalian (maka kalian) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: ‘Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir Musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).’” (Surah al-Nisa’: 75)

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 17 Ramadan 1443 / 19 April 2022