Home Berita PAS Wilayah

Wajarkah BR1M Dihapuskan?

755
SHARE

ARTIKEL : PEMUDA PAS BATU MIND – 19

WAJARKAH BR1M DIHAPUSKAN?

BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) mula diperkenalkan pada tahun 2012 oleh kerajaan Barisan Nasional (BN). Ia disambut sebagai suatu khabar gembira terutamanya buat penerima yang layak, iaitu mereka yang berpendapatan bulanan bawah RM3000 atau lebih dikenali sebagai golongan B40. Ini selari dengan konsep bantuan pindahan tunai (cash transfer) yang terbukti sebagai kaedah berkesan untuk mengurangkan bebanan golongan miskin.

Sejak diperkenalkan, BR1M tidak sekadar mendapat sokongan, ia juga turut mengundang beberapa persepsi yang skeptikal dari rakyat terutamanya pembangkang. Contohnya, BR1M dikatakan sebuah pemberian berupa wang sogokan politik untuk memancing undi.

Namun begitu secara keseluruhannya, BR1M adalah perkara yang baik kerana ia secara langsung menunjukkan inisiatif kerajaan dalam menggunakan kapasitinya untuk membantu golongan miskin. Orang miskin hendaklah dibantu oleh setiap lapisan rakyat bermula dari individu, masyarakat dan akhirnya kerajaan/negara. Jika kita ketepikan dahulu fahaman politik dan lihat dari konteks kebajikan, BR1M wajar dipandang positif.

Bahkan perkara ini diakui sendiri oleh Pakatan Harapan apabila mereka membuat jaminan dalam manifesto Buku Harapan di bawah “Janji 3: Berkongsi kekayaan negara secara bersasar”, bahawa BR1M akan diteruskan demi membela nasib golongan B40 dalam menghadapi kesukaran kos sara hidup yang ketara. Pastinya janji ini sedikit sebanyak menarik undi PH dari mereka yang “pro-BR1M–anti-BN” ketika PRU-14.

Setelah bertukarnya kerajaan dari BN kepada Pakatan Harapan (PH) pasca PRU14, isu BR1M menjadi hangat semula. Terdahulu, pada 17 Mei, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau bersetuju untuk meneruskan BR1M tetapi ia akan dikaji semula. Dua minggu selepas itu, BR1M telah bertukar nama menjadi BSH (Bantuan Sara Hidup). Terbaharu, Perdana Menteri menyatakan bahawa wang pemberian BR1M akan dikurangkan secara berperingkat sebelum ianya dihapuskan. Kenyataan mutakhir tersebut pastinya memeranjatkan.

Antara justifikasi penghapusan BR1M adalah kerana BR1M disifatkan sebagai duit sogokan kepada rakyat, lalu berunsur rasuah. Hujah ini tidak tepat kerana jika BR1M itu wang sogokan politik, pasti BN tidak tumbang pada PRU-14. Tambahan pula, bukan semua penerima BR1M mengundi BN para PRU-13 atau 14. Rakyat yang bijak pasti akan menilai BR1M secara telus, iaitu sebagai bantuan kerajaan untuk rakyat tanpa mengambil kira kelebihan politik.

Terdapat pelbagai ulasan dari mereka yang lebih pakar, namun di ruangan yang ringkas ini, izinkan saya berkongsi dua perkara dalam kita menilai isu ini:

1. Kontradiksi/perlanggaran janji manifesto – seperti yang disebut di atas, penghapusan BR1M jelas berlawanan dengan manifesto kerajaan PH. Rakyat masih boleh terima jika BR1M diubahsuai seperti dikaji semula, diberi nama/nafas baru, atau diperketatkan syarat-syaratnya. Pengubahsuaian ini bukanlah perkara yang besar memandangkan ia tidak lari dari konteks asal untuk membela golongan miskin. Yang penting ialah wujudnya satu mekanisme bantuan kepada rakyat. Penambahbaikan itu perlu, tapi janganlah dihapuskan terus.

2. Keperluan untuk terus membela nasib rakyat miskin – kita boleh hormati pandangan beberapa individu bahawa penghapusan BR1M boleh mengajar rakyat untuk berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan terus dari kerajaan. Dengan kata lain, rakyat tidak patut “dimanjakan”, atau “lebih baik beri kail dari beri ikan”. Namun, ini tidak menafikan keperluan bantuan ini untuk diteruskan walaupun dalam skala lebih kecil, berfokus dan efisien. BR1M itu sendiri boleh dijadikan “kail” jika diurus dengan betul, contohnya sebagai modal bisnes. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi dan kepayahan peluang pekerjaan, bantuan ini amat bermakna buat rakyat miskin. Nilai RM 1200 mungkin nampak kecil bagi kita, tetapi amat besar bagi mereka yang memerlukan. Sekurang-kurangnya penerima dapat menampung kos persekolahan anak-anak dan menampung pembelian barangan keperluan asas.

Apa yang pasti, BR1M berkait rapat dengan isu kesukaran rakyat Malaysia untuk berhadapan dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Oleh itu, seandainya BR1M dimansuhkan sekalipun, kerajaan mestilah mengemukakan alternatif lain untuk membantu golongan miskin agar nasib mereka dapat terus dibela dan diambil peduli.

Akhir kata, marilah kita menyahut seruan dan galakan agama Islam untuk berbuat kebaikan kepada orang-orang miskin dan menolong mereka. Janganlah kita berkira atau meminggirkan mereka kerana tidak semua manusia diberi peluang merasai kemewahan.

Sabda Rasulullah SAW:

“Barangsiapa menghilangkan satu kesusahan dunia dari seorang mu’min, Allah akan menghilangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat.”
[HR Muslim]

[Ditulis Oleh Sdr Zulhaziman Salleh, Penolong Setiausaha 1 Pemuda PAS Batu]

LIKE FB PAGE
Pemudabatu.com