Home Berita PAS Terengganu

Wad Kelas Ketiga Percuma Manfaatkan 224,000 Pesakit Terengganu

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu telah memperuntukkan lebih RM12 juta sejak tahun 2020 bagi melaksanakan program Wad Kelas Ketiga Percuma, yang telah memberi manfaat kepada lebih 224,000 pesakit di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah, menyatakan bahawa program ini adalah satu inisiatif penting dalam memastikan akses kesihatan yang lebih baik untuk rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan.

“Dalam tempoh lima tahun pelaksanaan, peruntukan lebih RM12 juta telah membolehkan seramai 224,000 pesakit menerima rawatan tanpa membebankan kewangan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini kelmarin.

Beliau turut menegaskan bahawa program itu bukan sekadar menyediakan bantuan kewangan tetapi juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat.

“Ia bukan hanya berkaitan angka atau jumlah peruntukan, tetapi bagaimana inisiatif ini telah membantu meringankan beban rakyat dan memastikan mereka mendapat rawatan sewajarnya,” ujarnya.

Menurut Wan Sukairi, kejayaan program ini turut didorong oleh usaha kerajaan dalam mendapatkan sumber pembiayaan tambahan. Selain dana kerajaan negeri, program ini turut menerima sokongan sektor korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Kami tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan semata-mata, tetapi turut mendapat sokongan pelbagai pihak untuk memastikan kesinambungan program ini demi manfaat rakyat,” tambahnya.