KERAJAAN AKAN BANTU, PENGUSAHA DISARAN BERHUBUNG DENGAN AGENSI – RAZMAN
17 JUN, BAGAN SERAI: Pengusaha ikan ternakan dinasihatkan agar bertemu dengan agensi berkaitan seperti Jabatan perikanan bagi mendapatkan khidmat nasihat dan juga maklumat-maklumat berkaitan bidang yang ingin diceburi.
Ini bagi memudahkan mereka menjalankan usaha ternak disamping mendapat sokongan dari pihak kerajaan supaya tidak timbul masalah di kemudian hari. Di samping itu ia juga perlu supaya kolaborasi dapat diwujudkan demi kelestarian industri bekalan makanan itu sendiri.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak YB Tuan Haji Razman Zakaria ketika lawatan ke kolam ternakan ikan komuniti Tebuk Rimba, Selinsing pagi tadi.
“Kepada pengusaha-pengusaha, ataupun sebelum dia mengusaha tu, (sekiranya) nak buat tanaman makanan atau perikanan ke, (seeloknya) biar dia pergi jumpa dulu dengan agensi. Bila dapat maklumat daripada agensi baru tahu pasaran nak pergi ke mana, apa bantuan yang boleh dapat (dan sebagainya).
“Sebab kita daripada pihak kerajaan ni, dia (kerajaan) kena jaga (pengusaha) juga. Maksudnya kalau dah depa tanam, depa buat kebun sayur, depa buat ternakan (jika) kemudian tak dapat pulangan, (maka) depa berhenti, jadi bekalan makanan negara nak dapat daripada mana? Jadi kita (kerajaan) kena jagalah”, ujar Razman.
Sementara itu salah seorang peserta komuniti yang ditemui menjelaskan pendapatan dari jualan ikan agak baik. Menurutnya lagi ikan sepat yang diternaknya dijual dengan harga diskaun RM12 sekilogram dan jika dijual di pasaran terbuka harganya lebih tinggi lagi.
Selesai lawatan di Tebuk Rimba, Razman yang diiringi oleh Pengarah Jabatan Perikanan Perak Tn. Zaki Mokri menuju ke Kampung Pulai, Bagan serai, bagi meninjau ternakan ikan sangkar yang di jalankan secara usahasama oleh Razali Mat Akit dan Abdullah Sani Majid.
Usaha ternak dijalankan bermula pertengahan April lalu dengan sejumlah 63 buah sangkar yang menempatkan ikan talapia merah, baung, udang galah patin, keli dan ikan ubi.
Menurut Zaki ternakan udang galah di dalam sangkar yang dijalankan secara rasminya merupakan yang pertama kali dan lebih merupakan percubaan memandangkan kualiti air di sini didapati bersesuaian untuk spesies tersebut.
Lawatan diakhiri dengan pelepasan benih udang galah dan ikan talapia merah masing-masing berjumlah 10 ribu ekor. Turut hadir Ketua Perikanan Daerah Kerian M Sahiburrahman Ahmad.