Home Berita PAS Terengganu

Vaksin di kawasan kritikal ditambah, dipercepat – MB Terengganu

20
SHARE


Oleh: Husaif Mamat

KUALA TERENGGANU, 2 Ogos – Kerajaan negeri akan menambah dan mempercepatkan pemberian vaksin di kawasan kritikal bagi mengurangkan penularan COVID-19 di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau akan memohon dengan pihak berautoriti agar perkara itu dilaksanakan di kawasan yang mengalami jangkitan tinggi di negeri terbabit seperti Kemaman dan Dungun.

“Kerajaan negeri juga menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan agensi penguatkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dan akan meningkatkan kawalan dengan memperbanyakan saringan kontak rapat dan saringan di lokaliti berisiko yang telah dikenalpasti.

“Susulan daripada aktiviti pengesanan ini, kita menjangkakan akan berlaku peningkatan kes COVID-19 dalam masa dua minggu yang akan datang, namun saya ingin berpesan agar kita tidak panik, kekal tenang,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengulas lanjut mengenai bilangan kes tertinggi yang direkodkan di Terengganu hari ini, Ahmad Samsuri memaklumkan ia berpunca daripada aktiviti-aktiviti semasa perayaan Aidiladha yang dilakukan tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Terdapat majlis keraian dan seumpamanya dijalankan secara sembunyi dalam masyarakat.

“Termasuklah terdapat aktiviti merentas daerah dan negeri semasa perayaan walaupun ia tidak dibenarkan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya lagi, peningkatan kes turut berpunca daripada kemasukan pekerja kontrak warga asing dari luar Terengganu yang tidak disaring dan mencetuskan kluster antara mereka.

“Di samping itu, saringan kontak rapat dan bersasar di beberapa lokaliti di seluruh Terengganu serta wujudnya kes bergejala yang menular dengan cepat dalam komuniti juga antara punca kes bertambah,” jelasnya.

Oleh itu, beliau menyeru agar seluruh rakyat Terengganu terus mematuhi SOP dan mengamalkan kawalan kendiri walaupun negeri itu kini berada di fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Sekiranya tiada urusan mustahak teruskan kekal berada di rumah, jika perlu keluar pastikan SOP dipatuhi,” tambah beliau

Hari ini, Terengganu merekodkan kes tertinggi sejak COVID-19 melanda dunia dengan 883 kes dan tiga kematian.