Oleh : Pak Abbas
KUALA TERENGGANU, 21 November – Rakyat diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan keluarga ketika berlakunya banjir yang menyebabkan mangsa terpaksa berpindah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, golongan terjejas banjir perlu mengutamakan diri serta keluarga terlebih dahulu sebelum menyelamatkan harta benda.
Kata beliau, dalam masa yang sama pihaknya sentiasa menyediakan pelbagai bantuan kepada mangsa banjir.
“Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia dan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk sendiri menyediakan beberapa bot.
“Ia bertujuan bagi memindahkan penduduk yang kediamannya terjejas banjir ke tempat yang lebih selamat seperti di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata demikian ketika tinjauan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering di sini hari ini.
Tambah Dr Khalil, setakat pagi tadi Daerah Kuala Terengganu dan DUN Batu Buruk mengalami banjir yang teruk.
“Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering menempatkan seramai 156 mangsa banjir sebanyak PPS dibuka.
“Apabila mangsa banjir melebihi jumlah fasiliti yang disediakan, maka akan dipindahkan ke tempat yang kedua,” ujarnya.
Beliau berkata, iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Panjang seterusnya ke PPS ketiga di Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Tok Nasek.