KUALA TERENGGANU – Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) komited dalam memperkasakan wanita di Kuala Besut dan Kota Putera melalui program berterusan yang memberi tumpuan kepada pembangunan ilmu, kebajikan serta sokongan dalam bidang ekonomi, sosial dan pendidikan.
Pengarahnya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, USWa mengambil langkah proaktif dengan merangka pelan jangka pendek dan panjang bagi memastikan wanita di kawasan tersebut mendapat bimbingan berterusan.
“Perbincangan tertumpu kepada pembangunan wanita, dengan penekanan kepada pengisian ilmu dan cakna kebajikan.
“Hasil perbincangan dengan pihak berkaitan akan dibawa ke peringkat Exco Kebajikan dan Syariah bagi memastikan pelaksanaan inisiatif yang lebih menyeluruh,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Dataran Alamanda, hari ini.
Menurutnya, ilmu dan kebajikan menjadi tunjang utama dalam usaha membangunkan wanita yang lebih berdaya saing.
“Insya-Allah, USWa merangka program jangka pendek dan panjang bagi memastikan wanita di kawasan ini mendapat bimbingan berterusan dalam pelbagai aspek kehidupan.
“Kami percaya bahawa dengan ilmu, sokongan, dan inisiatif berterusan, wanita di kawasan ini menjadi lebih berdaya saing, berpengetahuan, dan sejahtera,” ujarnya.
Oleh itu ujar beliau, program-program bermanfaat akan terus dilaksanakan bagi membantu mereka mencapai potensi terbaik.
Tambahnya, USWa juga akan menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan golongan wanita menerima manfaat daripada program yang disediakan.