Home Berita PAS Pahang

Ustazah Salamiah hadiri pelbagai program seharian di Sungai Lembing

181
SHARE

Oleh AZURA AWANG

PAYA BESAR, 21 Ogos : Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Pahang Ustazah Salamiah Mohd Nor telah meluangkan masa seharian menghadiri dan menyertai berbagai program di Sungai Lembing, dekat sini, semalam.

Kebanyakan program bertujuan bagi mengeratkan silaturahim serta menggalakkan masyarakat setempat bersosial dengan program keagamaan selain menambah ilmu.

Ustazah Salamiah yang juga merupakan Penaung Prihatin Rakyat Paya Besar memulakan kunjungannya ke Masjid Sungai Lembing bagi menghadiri beberapa acara khusus untuk muslimat anjuran Lajnah Dakwah DMP Paya Besar.

Antaranya ialah beliau diminta memimpin majlis zikir munajat yang dikenali sebagai AKIFI (Alim, Haraki, Sufi) dan seterusnya mengikuti kuliah agama yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustazah Naziilul Husna Ahmad Nafiri.

Salamiah kemudiannya dibawa menziarahi beberapa buah rumah di sekitar Felda Bukit Sagu, mengedar bubur asyura di Felda Bukit Kuantan serta memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Goh.

Turut mengiringi beliau ialah Ketua dan Naib Ketua DMP Paya Besar, Ustazah Norzilah Hussain dan Norsiah Shuib juga Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat PAS DUN Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri.

“Program sebegini sangat baik bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan perlu diteruskan lagi di masa-masa akan datang,” kata Ustazah Salamiah yang juga Naib Ketua DMP Pusat.