Home Berita PAS Selangor

Ustaz Solih, Ustazah Noraini kekal ketua DPPK dan DMPK di Klang – PAS Kawasan Klang

139
SHARE

Khabar PAS Kawasan Dari Selangor | PAS Kawasan Klang

Oleh : Mohd Nasrul Bin Ahmad Tajuddin

KLANG, 10 Oktober – Pada hari ini Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) dan Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) yang merupakan sayap kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kawasan Klang telah bermesyuarat agung pada masa yang sama tetapi di tempat yang berlainan.

DPPK Klang yang bermesyuarat buat kali ke-36 telah lakukan di SRITI Al Hawariyyun, Pelabuhan Klang bermula seawal 8.30 pagi. Dalam mesyuarat tersebut, para perwakilan dari 18 Cawangan PAS yang berada di dalam kawasan Klang telah sebulat suara bersetuju di mana Ustaz Solihuddin Bin Mohd Jahar dipilih lagi sekali dengan mengekalkan jawatan selaku Ketua Pemuda PAS Kawasan Klang. Manakala Timbalan Ketua Pemuda DPPK Klang disandang oleh All-Hafiez Bin Abas dan Hafizuddin Bin Mohd Nor pula dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda.

Sementara itu di Maahad Tahfiz dan Teknologi Darul Ehsan, Pelabuhan Klang berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Muslimat PAS Kawasan Klang Ke-24 di mana ke semua perwakilan sebulat suara bersetuju mengekalkan pimpinan Dewan Muslimat PAS Kawasan Klang yang lalu bagi sesi 2021 – 2023 yang diketuai oleh Ustazah Noraini Binti Hussin dan dibantu oleh Norhanizah Binti Ahmad Suhaimi selaku Timbalan Ketua DMPK dan Naib Ketua DMPK disandang oleh Nor Saerah Binti Hussain.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, YB Senator Ustazah Nuridah Binti Mohd Salleh telah menyampaikan perutusan melalui rakaman video bagi merasmikan MAT Muslimat PAS Kawasan Klang pada kali ini. Sementara itu, Ustaz Khalid Bin Nayan selaku Yang Di-Pertua PAS Kawasan Klang telah hadir secara fizikal bagi meraikan mesyuarat tersebut dengan menyatakan bahawa muslimat adalah jantung perjuangan. Jika jantung berhenti berdenyut maka lumpuhlah perjuangan/gerakan.

Para perwakilan dalam mesyuarat agung tahunan bagi sesi 2021-2023 bagi kedua-dua “Dewan Sayap PAS” ini selesai bermesyuarat sekitar jam 12.30 tengahari.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor