HULU TERENGGANU – YB Ustaz Haji Maliaman Kassim kekal sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu bagi sesi 2025–2027 apabila berjaya menewaskan pencabarnya dalam pertandingan dua penjuru.
Manakaala, jawatan Timbalan Yang Dipertua yang disandang oleh YB Ustaz Hilmi Dato’ Harun yang menang tanpa bertanding, begitu juga Naib Yang Dipertua turut dimenangi oleh Encik Ghazali Abdullah.
Pengerusi Tetap mesyuarat, Ustaz Khairuddin Mizi memaklumkan bahawa seramai 700 perwakilan daripada 106 cawangan hadir untuk menunaikan tanggungjawab memilih kepimpinan baharu kawasan.
“Sebanyak 26 calon bertanding bagi merebut 16 kerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan, manakala beberapa jawatan utama dimenangi tanpa bertanding, menunjukkan wujudnya kesatuan dan persefahaman dalam kalangan pimpinan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan kali ke-41 yang berlangsung di Dewan Kompleks Wawasan Tarbiah Tuan Guru Haji Harun Taib (Al-Kawthar), Kubang Lembek, semalam.
Menurutnya, antara individu yang terpilih sebagai AJK PAS Kawasan termasuk Ustaz Mohd Hamdi Harun, Ustaz Mohd Harun Esa, Ustaz Furqan Ismail, Ustaz Md Irham Nori, Mohd Safari Abu, serta beberapa muka baharu yang turut menerima sokongan padu daripada perwakilan.
Ustaz Khairuddin menambah, pemilihan kali ini turut menyaksikan peningkatan penyertaan perwakilan wanita dan anak muda, mencerminkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli dari pelbagai lapisan.
“Saya yakin kombinasi antara pengalaman dan tenaga baharu akan memperkukuhkan gerak kerja serta membantu PAS Hulu Terengganu merancang strategi lebih kemas menjelang Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya lagi.
Dalam ucapannya, Yang Dipertua PAS Kawasan, YB Ustaz Haji Maliaman Kassim menegaskan kepentingan untuk memperhebat agenda tarbiah ahli, memperkukuh institusi pendidikan Islam seperti Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI), dan memperluas program kebajikan kepada rakyat.
“Kita akan terus memfokuskan agenda pentarbiahan dan kebajikan sebagai teras perjuangan, serta memastikan seluruh jentera bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam medan politik tanah air,” tegas beliau.
Mesyuarat tersebut dirasmikan oleh YB Dato’ Haji Ahmad Saad @ Yahaya, Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga merupakan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.