Oleh: Danisya Ismail
TAMBUN: Pengerusi Pertubuhan Prihatin Rakyat Kinta, Ustaz Hafez Sabri turun padang mendengar aduan masyarakat di Kampung Baru Jelapang, semalam.
Menurutnya, aduan masyarakat yang diterima pihaknya itu adalah berkaitan keperluan pemasangan lampu jalan untuk keselamatan penduduk setempat.
Wakil penduduk, Sazali Abdul Manap ketika ditemui berkata, beliau mewakili penduduk Lorong Jelapang 21, Kampung Baru Jelapang berharap agar masalah ini mendapat perhatian pihak berwajib.
Dalam pertemuan itu, beliau telah menyerahkan surat permohonan kepada Ustaz Hafez supaya masalah berikut dapat dibincangkan sekaligus menunaikan hasrat penduduk untuk mempunyai lampu jalan.
“Sebelum ini kawasan perumahan di sini mengalami masalah jalan yang agak teruk yang mengakibatkan kerap berlaku banjir. Alhamdulillah masalah tersebut telah saya sampaikan kepada pihak Ahli Majlis Bandaraya yang menjaga Gugusan Manjoi ini.
“Beliau (Ahli Majlis Bandaraya) telah menyampaikan aduan saya kepada Datuk Bandar Ipoh, (Alhamdulillah) masalah tersebut dapat diselesaikan dan penduduk setempat telah diberikan jalan baru,” kongsi Ustaz Hafez.
Dalam pada itu, Ustaz Hafez berkata usaha itu juga berkat kerjasama semua pihak yang saling membantu dalam menyelesaikan masalah rakyat terutamanya Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Syed Mohd Noor Hisam.
“InsyaAllah saya akan terus mengambil pendekatan berbincang dan berusaha bagi menyelesaikan masalah ketiadaan lampu jalan di kawasan ini untuk keselamatan penduduk setempat,” ujarnya.