KUALA TERENGGANU – Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus memuji sikap kepimpinan kerajaan Terengganu kerana sangat berlapang dada dan boleh menerima setiap teguran dengan baik.
Ustaz Azhar berkata, beliau telah beberapa kali memberi nasihat kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berhubung sesuatu perkara terutama melibatkan isu agama.
“Sebelum ini saya ada nasihat kepada Menteri Besar (Dato’ Seri Dr Ahmad Mokhtar) dan Exco tentang aktiviti senamrobik yang memerlukan pemantauan dan penambahbaikan.
“Alhamdulillah, Ahli MMKN (Exco) tak marah pun, bahkan mereka terima dengan baik sebab mereka faham, ada orang tak faham sebab itu mereka marah, bermakna kerajaan sekarang adalah kerajaan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Ambang Malam Tahun Baharu ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ Peringkat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak di sini semalam.
Menurut Ustaz Azhar, mana-mana kerajaan boleh ditegur supaya sebarang kelemahan yang ada dapat diperbaiki menjadi lebih baik.
“Tetapi ada kerajaan yang marah sebab tak boleh terima teguran, macam-macam dikata untuk menafikan teguran itu.
“Setiap teguran adalah untuk kebaikan bersama, tetapi ada juga pihak yang menegur berniat lain, untuk menjatuhkan dan sebagainya,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk ditegur dan dikritik demi penambahbaikan di masa depan.
“Rakyat berperanan sebagai semak dan imbang kerajaan dan bebas menegur sekiranya terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki.
“Setiap agensi dan jabatan ada sistem perhubungan masing-masing, sama ada melalui portal, website dan sebagainya yang sedia menerima pandangan, kritikan atau teguran daripada rakyat,” ujarnya.