Home Berita PAS Terengganu

‘Usikan’ Motosikal Klasik dan Retro kini di Muzium Negeri

10
SHARE

KUALA  TERENGGANU – Lebih 40 buah motosikal klasik dan retro menjadi perhatian orang ramai serta pengunjung pada Pameran Muto dan Kenangan 2024 yang berlangsung di Dewan Mandalika dan Ruang Foyer, Kompleks Muzium Negeri Terengganu bermula 1 Julai sehingga 31 September ini.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah berkata, antara yang mendapat perhatian pengunjung, sebuah motosikal klasik paling lama dan bernilai tinggi iaitu harley davidson model 1916 C  yang kini mencecah nilaian lebih RM150,000.

Katanya, pameran itu diadakan bertujuan mengimbau nostalgia permotoran di Malaysia dengan suntikan nilai-nilai sentimental dalam budaya bermotosikal.

“Motosikal klasik dan retro menjadi tunjang koleksi serta foto-foto lama bakal mengembalikan pengalaman bersama dari pelbagai aspek budaya motosikal dalam kehidupan.

“Ia sekali gus memberi pendidikan kepada generasi baharu khusus dalam aspek keselamatan dan perundangan di jalan raya,” katanya ketika ditemui sempena pameran Muto & Kenangan di sini semalam.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sentiasa komited dan menyokong penuh  penganjuran-penganjuran seperti itu yang menyumbang kepada peratusan kehadiran pelancong ke Terengganu.

“Kompleks Muzium ini  merupakan salah satu destinasi ‘patut lawat’ para pelancong jika berkunjung ke negeri ini.

“Justeru itu, saya berharap pihak muzium  dan lain-lain agensi pelancongan  sentiasa bersiap siaga menyajikan program-program yang kreatif, inovatif serta dapat  memenuhi hasrat segenap lapisan masyarakat,”ujar beliau.