Home Berita PAS Terengganu

Urus Tekanan Mental Dengan Komunikasi

22
SHARE

Oleh : Ummi Kalthum Mamat

BESUT – Tekanan mental perlu diuruskan dengan cara terbaik termasuk menggunakan komunikasi bersama pasangan agar semua perkara dapat ditangani tanpa masalah.

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Tengku Bahiyah Tengku Lih berkata, jika sumber utama sebiji telefon ialah bateri, manakala tubuh adalah mental maka jagalah ia sebaik mungkin.

Katanya, wanita menghadapi tekanan disebabkan pelbagai faktor, tetapi ia seharusnya dikawal bagi memastikan tidak memudaratkan diri, pasangan dan keluarga.

“Wanita yang mengalami gejala gangguan mental perlu mendapatkan bantuan profesional, sama ada kaunselor atau pakar psikiatri serta patuhi nasihat dan rawatan yang diberikan.

“Sekiranya rawatan dan intervensi awal tidak dilakukan, kesihatan mental boleh menjadi lebih parah sehingga boleh menyebabkan kes bunuh diri,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Program Sembang Santai bertajuk ‘Kesihatan Mental Wanita 1.0’ yang berlangsung di Grey House Cafe, Kampung Gelam Mas, di sini pada kelmarin.

Manakala penganjur program, Ketua Ameerah DUN Kota Putera, Bariah Rosmarwadi, melahirkan rasa syukur kerana program itu mendapat respon positif dalam kalangan wanita muda.

“Program sebegini harus dititikberatkan berikutan kadar peningkatan penyakit kemurungan semakin meningkat setiap tahun dalam kalangan wanita muda.

“Seramai 22 orang peserta wanita telah berjaya membuka mata wanita di luar sana pentingnya menjaga kesihatan mental kita,” jelasnya lagi.

Sementara itu seorang peserta yang ditemui,
Siti Mariam Zulkifli berkata, beliau sangat teruja dapat menyertainya.

“Program sebegini sangat bagus, baik untuk semua, perlu ada sesi berikutnya,” katanya.