Home Berita PAS Terengganu

UPDI rangkul Anugerah, Tokoh Media Terengganu disanjung

1
SHARE

KUALA TERENGGANU – Dua peserta dari Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mengungguli kategori Foto Terbaik Media Digital pada Majlis Apresiasi Media Terengganu 2025, semalam.

UPDI unggul apabila Tengku Mohamad Syamim Tengku Ismail dinobatkan johan melalui karya bertajuk “Pesta Main Selut Jadi Tarikan Pelancongan Terengganu” sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, plak dan sijil.

Manakala, rakan sejawatnya, Muhammad Ammar Shafiq Rozlan, pula di tempat kedua dengan foto bertajuk “Petugas Pertahanan Awam” dan hadiah RM1,000, plak serta sijil.

Lima kategori utama dipertandingkan merangkumi Berita dan Foto Terbaik (Media Digital dan Cetak), serta Video Terbaik Media Digital.

Media Prima Berhad turut turut mencuri tumpuan apabila merangkul dua anugerah penting, mencerminkan mutu penyampaian berita dan visual yang konsisten serta berkualiti tinggi

Wartawan TV3, Mohd Ishak Abdillah Ngah, meraih tempat kedua dalam Kategori Berita Digital Terbaik menerusi rencana bertajuk ‘Perahu Terengganu Semakin Pupus’. Karya berkenaan menyentuh isu pemuliharaan warisan maritim negeri yang semakin terpinggir. Beliau membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta plak penghargaan.

Sementara itu, jurufoto berpengalaman dari New Straits Times Press (NSTP), Mohd Ghazali Kori, dinobatkan pemenang utama Kategori Video Digital Terbaik melalui karya menyentuh hati bertajuk ‘Penenun Buta’, yang mengetengahkan kisah kecekalan seorang wanita OKU dalam meneruskan warisan tenunan. Beliau menerima hadiah wang tunai RM1,500 dan plak kemenangan.

Bernama turut menyerlah apabila dua wakilnya mengungguli anugerah utama. Balqis Jamaludin muncul juara Kategori Berita Digital Terbaik menerusi laporan bertajuk ‘Banjir: Pemuda Ikat Tong Dram Bawah Katil Untuk Keselesaan Bapa Terlantar Sakit’ – kisah penuh kemanusiaan yang menyentuh emosi pembaca.

Bagi Kategori Media Cetak Foto Terbaik, jurufoto Mohd Syafiq @ Ridzuan Ambak (Bernama) dinobatkan pemenang menerusi gambar bertajuk ‘Katil Terapung, Suami Terlantar Dijaga Isteri’, yang merakamkan pengorbanan dan kasih sayang dalam suasana banjir.

Majlis anugerah ini bukan sekadar menghargai karya bermutu, malah mengiktiraf insan-insan di sebalik tabir yang menjadikan dunia kewartawanan sebagai medan perjuangan ilmu, dakwah dan pembangunan ummah.

Anugerah ini juga menjadi bukti bahawa Terengganu terus melahirkan pengamal media yang berjiwa besar, berprinsip dan berpengaruh, serta mampu membentuk landskap media negara ke arah lebih progresif dan beretika.