Home Berita PAS Terengganu

UniSZA Lakar Sejarah Pulihara dan Naik Taraf Tasik GunaTeknologi Multi-Fiber Modular Termaju

13
SHARE

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sekali lagi melakar sejarah apabila menjadi universiti pertama menyelesaikan fasa pertama projek pemuliharaan dan naik taraf Tasik UNISZA dengan menggunakan teknologi Multi-Fiber Modular Termaju.

Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam berkata, projek itu bertujuan untuk memperbaiki kualiti air tasik yang terjejas akibat pencemaran dan sisa domestik yang dibuang berhampiran.

Menurutnya, itu bukan sahaja memberi impak positif kepada kualiti air di Tasik UniSZA, tetapi juga meletakkan kampus UniSZA sebagai salah satu contoh utama dalam pembangunan kampus lestari.

“Pada Mei 2023, UniSZA digemparkan dengan kejadian ribuan ikan yang ditemukan mati di tasik dan kejadian ini berpunca daripada pencemaran dan telah menimbulkan kebimbangan mengenai kualiti alam sekitar di kampus.

“Ini bukanlah kali pertama insiden seperti ini berlaku, kerana kejadian yang serupa juga telah terjadi pada tahun 2017”, katanya ketika ditemui pada sesi lawatan projek berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, analisa yang dijalankan oleh pihak Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur UniSZA (ESERI) menunjukkan bahawa kualiti air tasik semakin merosot dengan bacaan Indeks Kualiti Air (IKA) berada pada kelas IV, yang menunjukkan tahap pencemaran yang sangat tinggi.

“Menyedari masalah ini UniSZA telah mengambil inisiatif untuk berbincang dengan pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mencari penyelesaian yang tuntas.

“Alhamdulillah, KPT telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM3 juta untuk pelaksanaan projek ini yang diterima pada Julai 2023,” katanya lagi.

Dr. Fadzli juga berkata projek tersebut terbahagi kepada dua fasa utama iaitu fasa satu, melibatkan  pemuliharaan pencemaran dan naik taraf tasik dan fasa dua untuk pemuliharaan, naik taraf, dan pembangunan lestari tasik.

Tambahnya lagi, bermula pada Januari 2024, kerja-kerja pembinaan rumah pam dan pembangunan sistem multi-fiber dimulakan dan dengan pemasangan teknologi Multi-Fiber Modular Termaju, yang berjaya disiapkan pada September 2024, projek itu telah menunjukkan kejayaan besar.

Beliau berkata, hasilnya kualiti air tasik UniSZA telah mengalami peningkatan ketara iaitu berubah daripada kelas IV kepada kelas II.

Selain itu, sistem rawatan air yang dibangunkan melalui projek itu juga mampu menghasilkan 500,000 liter air terawat sehari.

Dalam masa sama, projek itu juga merangkumi pelan pembangunan jangka panjang yang akan memastikan Tasik UniSZA terus menjadi mercu tanda bagi kampus yang berdaya saing dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.