Home Berita PAS Terengganu

UniSZA kukuhkan jalinan akademik dan industri melalui pelantikan Profesor Adjung

7
SHARE

KUALA NERUS – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) terus memperkukuh kerjasama akademik dan industri apabila melantik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd (Terengganu Inc) Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun sebagai Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Pengurusan.

Majlis penyerahan surat lantikan diadakan di Kampus Gong Badak pada 10 Ogos lalu, disempurnakan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam.

Menurut beliau, pelantikan itu menjadi jambatan penting antara dunia akademik dan sektor korporat.

“Ini bukan sekadar penghargaan kepada kepakaran luar, tetapi langkah strategik untuk membuka peluang pembelajaran, penyelidikan dan latihan industri kepada pelajar, khususnya dalam bidang kewangan dan pelaburan antarabangsa,” katanya.

Dato’ Burhanuddin, yang berkelulusan MBA dari University of Leeds, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, turut diiktiraf sebagai Chartered Accountant dan Certified Financial Planner di Malaysia.

Dengan pengalaman luas dalam dunia perniagaan dan pengurusan, beliau diyakini mampu membantu fakulti memperkasa kurikulum serta memindahkan ilmu praktikal kepada pelajar.

UniSZA berharap pelantikan tersebut memberi impak positif terhadap reputasi akademik universiti dan mengukuhkan jaringan strategik bersama industri, sejajar dengan usaha memperkasa pendidikan berteraskan pengalaman profesional.